Wanita dalam iddah: ke kubur dan keluar rumah

Lain-lain , , ,
Soalan:
Salam.
Ustzh, saya ada satu kemusykilan. Mohon penjelasan ttg hukum wanita yg kematian suami. Baru-baru ni kawan saya, suaminya meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya. Jenazah dimandi dan dikafankan di hospital.
Kemudian dibawa ke surau taman untuk disembahyangkan. Kawan saya tidak sempat menziarahinya di hospital. Tetapi dia ke surau untuk sama-sama sembahyang jenazah dan menatap wajahnya buat kali terakhir, kemudian turut mengiringi jenayah hingga ke kubur bersama ahli keluarga.
Dia dimarahi oleh abang iparnya. Katanya, apabila suami meninggal isteri wajib beriddah. Wanita dalam iddah haram keluar rumah kecuali kerana darurat sahaja.
Kawan saya sangat susah hati, ustzh. Dah la suami meninggal secara mengejut, solatkan jenazahnya pun berdosa?
Jawapan:
Wassalam.
Ucapan takziah kepada kawan puan. Moga Allah berikannya ganjaran sabar dan gantikannya dengan yang lebih baik.
Terdapat beberapa hukum berkaitan dengan persoalan yang ditanyakan.
1. Hukum wanita solat jenazah. Solat ke atas jenazah adalah fardhu kifayah yang dituntut ke atas umat Islam. Dan tidak terdapat nas yang melarang wanita solat ke atas jenazah. Ini menunjukkan wanita juga harus melaksanakannya. Hal ini disepakati oleh imam-imam semua mazhab.
2. Hukum tasyyie atau mengiringi jenazah hingga ke kubur. Mengiringi jenazah adalah satu daripada tanggungjawab muslim ke atas saudaranya. Namun wanita tidak digalakkan melakukannya. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ummu Atiyyah r.a. bahawa beliau berkata maksudnya: “Kami (kaum wanita) dilarang dari mengiringi jenazah. Tetapi tidak dipertegaskan ke atas kami.” Ibn Hajar berkata: “ia bermaksud bahawa larangan mengiringi jenazah tidak dipertegaskan sebagaimana larangan-larangan lain. Seolah-olahnya beliau berkata, Baginda tidak suka kami mengiringi jenazah, namun tidak mengharamkannya.” Al-Qurtubi pula berkata: “Zahir kata-kata Ummu Atiyyah itu menunjukkan larangan tanzih, iaitu bukan larangan tahrim. Inilah pendapat majority ahli ilmu. Imam Malik cenderung mengatakan harus. Demikian juga pendapat ahli (penduduk) Madinah. Dalil yang menunjukkan harus ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. sedang mengiringi jenazah. Tiba-tiba Umar r.a. terpandang seorang wanita turut mengiringi, lalu beliau menegur wanita itu. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Biarkanlah dia wahai Umar…” Hadis ini dikeluarkan juga oleh Ibn Majah dan an-Nasaei. Juga terdapat daripada jalur lain yang perawinya adalah tsiqah.”
3. Hukum wanita dalam iddah keluar rumah. Dalam hal ini terdapat firman Allah yang bermaksud: “Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).” (At-Talaaq 65:1)
Kalau dilihat kepada perbahasan fuqaha’ tentang ayat di atas, kita dapati mereka memfokus kepada hak dan tanggungjawab wanita beriddah untuk tinggal menetap di rumah tempat dia tinggal bersama suaminya sebelum bercerai sama ada cerai hidup atau mati. Wanita beriddah tidak boleh berpindah dari rumah itu sepanjang berada dalam iddah kecuali dalam keadaan darurat seperti rumah tidak selamat untuk diduduki, tuan rumah tidak mahu menyewakan lagi rumah itu, persekitaran kejiranan yang tidak aman dan seumpamanya.
Adapun keluar untuk menunaikan sesuatu keperluan di waktu siang tidaklah dilarang.
Di dalam kitab “Nihayah al-Muhtaj”, kitab fiqh Mazhab Syafie dinyatakan: “Wanita yang berada dalam iddah kematian boleh keluar dari rumah.. ini kerana dia tidak berhak mendapat nafkah, dan telah kehilangan orang yang bertanggungjawab menyara keperluan hidupnya. Maka dia harus keluar di waktu siang untuk membeli makanan dan berjual beli hasil tenunan dan sebagainya. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir r.a. katanya: “Ibu saudaraku telah diceraikan suaminya. Dia keluar untuk memotong pokok khurmanya. Maka dia dimarahi seorang lelaki yang menghalangnya daripada keluar. Dia mengadu kepada Nabi s.a.w. Maka baginda bersabda kepadanya: “Potonglah pokok khurmamu. Mudah-mudahan kamu dapat bersedekah atau membuat sesuatu kebaikan.” Imam Syafie berkata: “Pokok khurma orang Ansar berdekatan dengan rumah. Dan memotongnya hanya dilakukan pada waktu siang.” Sekiranya terdapat orang yang boleh memenuhi keperluannya, tidak harus baginya keluar kecuali darurat. Begitu juga harus baginya keluar malam jika perlu dan ia tidak boleh dilakukan pada waktu siang. Harus juga baginya keluar di waktu malam ke rumah jiran untuk bertenun, berbual dan seumpamanya bagi menghilangkan kesunyian dengan syarat dia kembali tidur di rumahnya dan syarat yang mutlak adalah keselamatannya.”
Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Mujahid, katanya: “Ramai kaum lelaki syahid di dalam peperangan Uhud. Beberapa orang wanita yang tinggal berjiran dan suami mereka syahid datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Mereka berkata: “Ya Rasulullah, kami berasa sunyi di waktu malam. Bolehkah kami tidur di rumah salah seorang daripada kami? Apabila siang, kami masing-masing pulang ke rumah kami?” Baginda menjawab: “Bercakaplah di rumah salah seorang kamu semahunya. Apabila kamu hendak tidur, pulanglah ke rumah masing-masing.”
Dr Abdul Karim mengulas hadis di atas dengan berkata: difahami daripada hadis di atas bahawa keuzuran yang membenarkan wanita dalam iddah keluar dari rumah bukan terbatas pada keuzuran material sahaja, tetapi merangkumi keuzuran dari sudut kejiwaan seperti perasaan sunyi dan keseorangan.
Setelah membawakan beberapa pandangan fuqaha’, Dr Abdul Karim Zaidan menyimpulkan bahawa pada prinsipnya wanita di dalam iddah seharusnya tidak keluar dari rumah kecuali kerana terpaksa dan keuzuran yang dibenarkan oleh syara’. Syaratnya dia keluar dalam keadaan selamat dan sejahtera ke atas diri dan maruahnya. Dan syarat keluar kerana hajat atau bekerja mencari rezeki adalah tidak ada orang yang dapat memenuhi keperluannya.
Daripada perbincangan di atas, pada pendapat saya harus isteri ke masjid untuk menziarahi jenazah suami dan ikut solat jenazah ke atasnya bersama dengan ahli keluarga dalam keadaan menjaga batas pergaulan dan selamat dari fitnah dan bahaya bencana. Adapun mengiringi hingga ke kubur, seeloknya dielakkan kerana tidak ada keperluan dan menghormati pendapat yang mengatakan haram.
Allahu A’lam.
Jawapan disunting daripada kitab “Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah”, jilid 9
—–
Soal jawab ini diambil dari Facebook Ustazah Maznah Daud yang disiarkan pada 30 Oktober, 2017 dan disiarkan semula di laman sesawang ini dengan keizinan Ustazah Maznah Daud.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.