Soal Jawab Ramadan oleh Dr MAZA

Article ,

LATIH ANAK-ANAK BERPUASA

Anak-anak yang belum baligh tidak wajib berpuasa. Tidak boleh juga memaksa mereka berpuasa secara kekerasan. Pun begitu mereka wajar dilatih berpuasa. Ia akan menjadikan mereka terbiasa dengan ibadah dan turut bersama merasai serta menghormati suasana Ramadan.
Dalam riwayat al-Imam Muslim, sahabiyyah Nabi Rubaiyi’ bint Mu’awwiz menceritakan bagaimana mereka pada zaman itu melatih anak-anak mereka berpuasa, antara yang beliau sebutkan:
وَنَصْنَعُ لَهُمُ اللُّعْبَةَ مِنَ الْعِهْنِ فَنَذْهَبُ بِهِ مَعَنَا فَإِذَا سَأَلُونَا الطَّعَامَ أَعْطَيْنَاهُمُ اللُّعْبَةَ تُلْهِيهِمْ حَتَّى يُتِمُّوا صَوْمَهُمْ
(Kami buat untuk mereka mainan daripada bulu. Kami bawa bersama kami. Apabila anak-anak meminta makanan kami berikan mereka mainan tersebut untuk melupakan mereka (makanan) sehingga mereka menyempurnakan puasa”

Maka, ibubapa boleh memberikan apa-apa mainan yang boleh membantu anak-anak mengurangkan perasaan lapar sehingga menyempurnakan puasa. Hal ini telah dicontohi oleh para sahabat Nabi s.a.w.
Apapun, biarlah mereka menghayati puasa dengan tarbiyah yang baik dan penuh kasih sayang dari ibubapa yang beriman.

 
BENARKAH NABI S.A.W DAN SAHABAT BERPERANG DALAM KEADAAN BERPUASA?Soalan ini sering ditanya kepada saya kerana terdapat ramai penceramah yang menyebut begitu, kata mereka yang bertanya.Untuk menjawab soalan ini mari kita baca hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim daripada Abu Sa’id al-Khudri:سَافَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِلَى مَكَّةَ وَنَحْنُ صِيَامٌ قَالَ فَنَزَلْنَا مَنْزِلاً فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِنَّكُمْ قَدْ دَنَوْتُمْ مِنْ عَدُوِّكُمْ وَالْفِطْرُ أَقْوَى لَكُمْ ». فَكَانَتْ رُخْصَةً فَمِنَّا مَنْ صَامَ وَمِنَّا مَنْ أَفْطَرَ ثُمَّ نَزَلْنَا مَنْزِلاً آخَرَ فَقَالَ « إِنَّكُمْ مُصَبِّحُو عَدُوِّكُمْ وَالْفِطْرُ أَقْوَى لَكُمْ فَأَفْطِرُوا ». وَكَانَتْ عَزْمَةً فَأَفْطَرْنَا
(Kami bermusafir bersama Rasulullah s.a.w ke Mekah (untuk melakukan pembukaan Mekah). Kami sampai di satu tempat lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Kamu semua sedang menghampiri musuh kamu sedangkan buka puasa itu lebih kuat untuk kamu”.
(Kata Abu Said al-Khudri) :Maka itu satu kelonggaran (untuk terus berpuasa), maka dalam kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka. Kemudian kami sampai ke satu tempat yang lain lantas Rasulullah s.a.w bersabda: “Kamu sedang berhadapan dengan musuh kamu, buka puasa itu lebih kuat untuk kamu maka berbukalah”.
(Kata Abu Said al-Khudri): Maka itu satu kewajipan maka kami pun berbuka.

Dalam Jabir r.a: Bahawa Rasulullah s.a.w keluar ke Mekah pada tahun pembukaan Mekah pada bulan Ramadan. Baginda berpuasa sehingga sampai Kura’ al-Ghanim. Orang ramai turut berpuasa. Lalu diberitahu kepada baginda: “Sesungguhnya puasa telah membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang engkau akan lakukan”. Lalu selepas Asar, baginda meminta sebekas air dan meminumnya” (Riwayat Muslim).

Dalam riwayat Muslim juga menyebut dalam peristiwa di atas di mana baginda memarahi mereka yang enggan berbuka setelah baginda berbuka. Baginda menyebut: “Mereka itu menderhaka! Mereka itu menderhaka!”.

Ertinya dakwaan Nabi s.a.w menyuruh sahabat-sahabat berpuasa semasa perang adalah tidak benar.

Para penceramah hendaklah berhati-hati ketika menyebut sesuatu fakta berhubung dengan Nabi s.a.w

 
MAKAN DULU SEBELUM SOLAT JIKA SUDAH TERHIDANGAda orang menyangka bahawa sekalipun makanan sudah terhidang, yang terbaik itu solat dahulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada yang apabila mereka duduk di keliling hidangan, kemudian bangun meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan oleh sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama. Namun, jika kita merujuk kepada hadis-hadis Nabi s.a.w kita akan dapati itu amalan yang silap. Antaranya hadis daripada Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, baginda s.a.w. bersabda:
“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, walaupun beliau mendengar bacaan imam.

Hikmah daripada arahan Nabi s.a.w agar mendahulukan makan ialah agar pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan yang telah kita lihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat tadi. Ini boleh mengganggu kekusyukan solat seseorang. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Ini merangkumi semua solat, bukan khusus pada solat Maghrib sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis-hadis berkaitan: “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk”.

Ini bukan bererti kita mengutamakan makan dari solat. Sebaliknya kita makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekusyukan solat.

Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):
“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

Dengan itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah sunnah Nabi s.a.w. Maka apabila makanan terhidang, ibubapa hendaklah memberikan anak-anak makan terlebih dahulu ketika berbuka, sehingga mereka selesai maka barulah bersolat. Inilah sunnah.

Melakukan susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah dengan kadar yang diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah lalu gagal bersolat dengan sempurna.

Di sana ada cara untuk mengelakkan kemakruhan ini, iaitu elakkan menghidangkan makanan terlebih dahulu sebelum solat. Elakkan mata terpandang kepada makanan yang telah dihidangkan. Selepas selesai bersolat barulah dihidangkan. Namun, jika kelaparan itu kuat, bau makanan telah masuk ke hidung, sehingga ingatan kepada makanan sangat kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan terlebih dahulu.

Juga sudah pasti tidak makruh bersolat sekalipun makanan sudah terhidang jika keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana punca (‘illah) larangan bersolat semasa makanan terhidang ialah agar tidak mengganggu kusyuk. Jika seseorang memang tiada keinginan kepada makanan, sudah pasti tidak menggangu kusyuk sekalipun makanan sudah terhidang.

 
YANG UZUR BOLEHKAH TERUS MAKAN?Para ulama seterusnya berbeza pendapat mengenai seseorang musafir yang berbuka puasa; apakah dia wajib menahan diri dari makan dan minum apabila sudah sampai ke negeri atau tempat tujunya, sedangkan orang ramai berpuasa. Pendapat yang terpilih; dia tidak wajib menahan diri dari makan dan minum kerana dia tidak berpuasa dan perbuatan itu tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Ia bukan suatu puasa yang sah kerana dia telah pun berbuka. Tiada dalil syarak yang mewajibkannya berbuat demikian. Kata Abdullah bin Masud r.a: “Sesiapa yang makan pada awal hari, maka dia boleh makan pada akhir hari” (Riwayat al-Baihaqi).Demikian juga bagi wanita haid, nifas dan sakit. Mereka boleh terus makan tanpa perlu menahan diri pada siang hari pada bulan Ramadan walaupun mungkin haid ataupun sakit mereka telah berakhir sebelum waktu berbuka.Namun, hendaklah mereka menyembunyikan perbuatan makan di siang hari tersebut. Sekalipun syarak mengizinkan mereka, tapi orang ramai tidak mengetahuinya, maka itu akan menjadi tohmahan dan fitnah. Begitu juga ia boleh menggalakkan perbuatan tidak berpuasa bagi mereka yang tidak layak berbuka pada bulan Ramadan.
Maka, seseorang yang mempunyai alasan yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan seperti faktor sakit dan musafir maka dia boleh berbuka dan diganti pada hari-hari yang lain.

 
SAMAKAH PAHALA PUASA SETIAP ORANG?Keadaan peribadi setiap orang dalam ibadah membawa perbezaan nilai di sisi Allah. lni disebut oleh para ulama Usul seperti al-Imam ‘Izzu al-Din ‘Abd al-Salam (meninggal 660H) dalam Qawa’id al-Ahkam. Beliau menjelaskan perbezaan pahala dua amalan yang serupa itu bukanlah perbezaan pahala amalan itu sendiri, sebaliknya tambahan pahala itu diperolehi disebabkan kesusahan yang ditanggung. Beliau membuat contoh seseorang yang mandi wajib pada musim sejuk dan seorang yang mandi wajib pada musim panas. Dari segi mandi, keduanya mendapat pahala yang sama disebabkan sifat mandi itu dari sudut syarat, rukun dan sunahnya itu sama. Namun yang mandi pada musim sejuk mendapat pahala lebih disebabkan beban yang lebih berat yang terpaksa ditanggung.Bukannya perbezaan pahala itu pada mandi tersebut, tetapi kepada beban sampingan yang terpaksa ditanggung. Demikianlah kata beliau mengenai mereka yang pergi ke masjid, haji, jihad dan seumpamanya. Pahala diberikan bukan kerana perbezaan tujuan, tetapi kerana perbezaan jalan yang terpaksa ditempuh.Begitulah puasa, walaupun dari segi puasa, tujuan sama. Juga syarat, rukun dan sunahnya yang dilaksanakan itu sama. Namun, pahala berbeza bukan disebabkan perbezaan pahala puasa, tetapi perbezaan bebanan yang ditanggung oleh seseorang yang melaksanakan tanggungjawab tersebut. Maka, kita hendaklah tahu bahawa setiap kesusahan yang ditanggung oleh pengamal ibadah itu, ada hitungan pahala di sisi Allah. Tiada siapa yang pernah Allah rugikan amalan baiknya. Ini seperti mana yang Allah tegaskan dalam al-Quran: (maksudnya) “dan sabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah Hud, ayat 115)

Keadilan Allah dalam hal ini menjadikan setiap hamba itu mendapat ruangan rahmat yang tersendiri. Seorang yang berpuasa dengan penuh kepayahan disebabkan tugasan harian yang berat, tentu mendapat pahala yang lebih dari seorang yang duduk berehat di pejabat yang selesa, ataupun dalam rumah yang berhawa dingin. Seorang yang bersusah payah mendapatkan sesuap makanan untuk berbuka puasa, ataupun menjamu orang berbuka puasa tentu mendapat pahala tambahan melebihi mereka yang mewah harta dalam berbuka puasa ataupun menjamu orang berbuka puasa.

Demikian seorang yang berpuasa dalam suasana penuh cabaran seperti cabaran di tempat kerja yang di kelilingi mereka yang tidak berpuasa ataupun di negeri yang suasana amat mencabar untuk berpuasa. Berpuasa pada hari yang panas lebih beban dari berpuasa pada hari yang sejuk. Maka, pahala tambahan atas bebanan puasa juga ada diperolehi pada yang berkenaan. Seseorang yang dicabar perasaannya oleh pihak tertentu pada hari dia berpuasa, tetapi dia sabar demi menjaga puasa tentu mendapat pahala yang lebih disbanding mereka yang puasa dalam keadaan tenang dan selesa. Kesemua hal tersebut ada hitungannya di sisi Allah. Maka seseorang hamba Allah hendaklah tahu bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan apa sahaja pengorbanan keranaNYA.

 
JANGAN PUASA JIKA MUDARATKAN DIRI ATAUPUN ORANG LAINPara ulama berbeza pendapat tentang manakah lebih afdal ketika bermusafir; puasa atau berbuka. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa jika puasa tidak menjadi bebanan, maka berpuasa lebih baik. Ini kerana dalam hadis Jabir r.a:
“Bahawa Rasulullah s.a.w keluar ke Mekah pada tahun pembukaan Mekah pada bulan Ramadan. Baginda berpuasa sehingga sampai Kura’ al-Ghanim. Orang ramai turut berpuasa. Lalu diberitahu kepada baginda: “Sesungguhnya puasa telah membebankan orang ramai, mereka sedang menunggu apa yang engkau akan lakukan”. Lalu selepas Asar, baginda meminta sebekas air dan meminumnya” (Riwayat Muslim).Dalam hadis ini menunjukkan, jika tidak kerana bebanan ke atas para sahabah, tentu baginda terus berpuasa. Dalam riwayat Muslim juga menyebut dalam peristiwa di atas baginda memarahi mereka yang enggan berbuka setelah baginda berbuka. Baginda menyebut: “Mereka itu menderhaka! Mereka itu menderhaka!”.Adapun jika puasa menjadi beban sehingga boleh membawa mudarat, maka seseorang wajib membuka puasanya. Nabi s.a.w melarang para sahabah berpuasa sehingga memudaratkan diri. Ini seperti hadis di atas yang mana Nabi s.a.w menyatakan bahawa mereka yang enggan berbuka puasa sekalipun telah menjadi bebanan kesusahan kepada diri itu sebagai menderhakai arahan atau teladan baginda s.a.w.
Dalam riwayat al-Bukhari:
“Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa?. Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir!”.

Maka hendaklah sesiapa yang merasakan dirinya terbeban sehingga memudaratkan kesihatan atau keadaannya, maka dia wajib membuka puasa dan menggantikannya kemudian.

Jika Nabi s.a.w menyuruh membuka puasa apabila bimbang mudarat atau bebanan yang terlalu berat untuk dirinya secara individu, sudah pasti dia lebih patut membuka puasa jika memudarat pihak-pihak lain. Ini seperti pemandu kenderaan awam yang jika mereka berpuasa menghilangkan tumpuan mereka dalam perjalanan seterusnya boleh mengundang kemalangan yang mengancam nyawa dan keselamatan penumpang, maka mereka hendaklah berbuka puasa. Jika ia tidak mengganggu tugas dan mengancam keselamatan awam, maka mereka tidak diwajibkan berbuka, namun mempunyai pilihan.

Mereka yang berbuka pada waktu Ramadan hendaklah menggantikannya kemudian.

 
APA ITU NIAT?Kata al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi:
“Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was” (http//:qaradawi.net).
 
SUNNAH BUKA PUASA DENGAN RUTABNabi s.a.w berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88).
Dalam hadith daripada Anas katanya:كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍBahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, katanya hadis ini hasan)
Inilah tertib yang dilakukan oleh baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada maka tamar dan jika tiada maka air.

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air…Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

 
JANGAN MAKAN DENGAN TANGAN KIRISempena puasa dan adab berbuka puasa hal ini perlu diingatkan.Makan dengan tangan kanan adalah adab makanan yang paling zahir dalam majlis makan muslim. Ia lambang yang nyata dan adab yang tertonjol. Dalam hadis lain baginda menyebut:“Apabila seseorang kamu makan, makanlah dengan tangan kanannya. Apabila dia minum, minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kiri” (Riwayat Muslim).

Hadis ini hendaklah difahami di sudut spiritualnya. Baginda bercakap di sudut spiritual yang hanya dapat difahami oleh orang yang menghayatinya. Sikap anti-syaitan diajar oleh Islam sehingga kita disuruh berbeza dengannya dalam segala cara, termasuk cara makan.
Makan ataupun minum dengan tangan kiri adalah amalan syaitan. Islam menyatukan budaya makan dengan menjadikan tangan kanan sebagai adab makan yang jelas kelihatan bagi orang muslim.

Malangnya, masih ada yang makan ataupun minum dengan tangan kiri. Ini termasuk mereka yang menggunakan garpu (folk) untuk menyuap lauk ataupun makanan lain ke mulut. Juga mereka yang minum tangan kiri kononnya kerana tangan kanan ada bekas makanan. Kesemuanya ini dilarang oleh Nabi s.a.w dan ditegaskan ia menyamai cara syaitan.

 
HUKUM MEMBERUS GIGI SEMASA PUASA?Islam menggalakkan bersugi (berus gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi s.a.w:
“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda:
“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain. Apatahlagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.

Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun neutrality agama ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat. Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah. Apatahlagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.

Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi s.a.w bersabda:“Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).

Apapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut:“Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).

Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu, jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!

 
DOA SIAPAKAH YANG MUSTAJAB DI BULAN RAMADAN?Setiap manusia yang hidup pada waktu ini akan memasuki Ramadan. Muslim dan juga bukan muslim. Mereka yang berpuasa dan juga mereka yang bermaksiat. Apakah setiap orang dimustajabkan doa mereka pada bulan Ramadan? Sudah pasti bukan demikian fahaman yang betul. Doa dimustajabkan apabila insan itu berpuasa. Puasa itu mendatangkan pahala. Puasa itu juga mendidik rohani agar tunduk kepada kehendak Allah. Puasa menyuburkan keikhlasan dalam jiwa. Lantas puasa membentuk kekhusyukan yang luar biasa. Dengan itu doa orang yang berpuasa dimustajabkan.Sesiapa yang berpuasa dalam ertikata yang sebenar akan dapat merasai perbezaan jiwanya. Lebih mendalam dia menghayati puasanya pada hati, lidah dan tingkah, maka bertambahlah kekhusyukan jiwanya. Bertambah pula sayang Allah kepadanya. Apabila dia berbuka puasa, dia telah menyempurnakan arahan Allah. Sayang Allah melimpah kepadanya. Maka Nabi s.a.w bersabda: Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka”. (Riwayat Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dll. Sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ahmad Syakir dalam ‘Umdah al-Tafsir menilainya sahih).

Al-Munawi menukilkan satu pendapat yang menyebut: “Dikhususkan untuk umat ini mengenai doa dalam firman Allah: (maksudnya)
“Berdoalah kepadaKU nescaya AKU mustajabkan untuk kamu” (Al-Ghafir: 60). Itu asalnya untuk para nabi. Kemudian diberikan kepada umat ini apa yang diberikan kepada para nabi a.s. Namun, urusan umat ini bercampur baur disebabkan nafsu menguasai jantung hati mereka maka ia pun terhijablah. Maka, puasa itu mencegah nafsu. Apabila seseorang meninggalkan syahwatnya, maka bersihlah jantung hatinya serta bersinarlah cahaya maka dimustajabkan doa. Maka hadis ini dan yang seumpamanya hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan hak puasa dengan sebenarnya. Dia memelihara lidah, jiwa dan perbuatannya”. (Al-Munawi, Faidh al-Qadir 2/634, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Justeru, Ramadan bulan diberkati. Puasa pula menjadikan kita bersih jiwa dan nurani. Gabungan keberkatan bulan dan kebersihan jiwa menjadikan doa kita mustajab. Jika sekadar bulan yang diberkati sedangkan jiwa kita tetap kotor, maka janji Allah ini mungkin tidak untuk kita.

 
RAHSIA KENAPA SANGAT MUSTAJAB DOA RAMADAN Doa! Semua insan inginkan agar doanya mustajab. Hidup tanpa doa adalah satu kemusnahan. Banyak perkara yang kita perlu mohon kepada Allah. Bukan sahaja nikmat atau cita-cita yang diidamkan pada masa hadapan, namun kita juga perlu memohon agar tidak dihilangkan nikmat dan cita yang telah dicapai. Insan sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya. Kehidupan ini jauh lebih besar dari kudrat seorang insan untuk dia mengawalnya. Betapa ramai para penguasa yang merasai diri mereka hebat, tetapi akhirnya tumbang dan tewas. Betapa canggih dan teguh kapal ‘Titanic’ yang bina, namun tenggelam selepas beberapa hari belayar. Siapakah yang menguasai alam?! Allah, Allah dan Allah. Awal dan akhir. Zahir dan batin.Semakin dekat insan dengan Allah, semakin mustajab doanya. Kemustajaban doa sangat berkait dengan kekusyukan jiwa hamba yang berdoa. Semakin tertumpu perasaannya kepada kebesaran Allah, semakin pantas doanya dimustajabkan. Sebenarnya, bukannya susah untuk berdoa, tetapi yang susah ialah mencari jiwa yang khusyuk yang menyebabkan doa mustajab. Ramai orang tersalah sangka dalam hal ini. Mereka hanya tertumpu kepada waktu, ungkapan dan tempat berdoa tetapi melupai perkara asas iaitu kekhusyukan diri insan yang berdoa itu. Maka jangan hairan jika ada insan yang tidak dimustajabkan doanya sekalipun dia berada di Mekah, ataupun berada pada bulan Ramadan. Walaupun unsur tempat yang mustajab ataupun waktu mustajab telah dipenuhi, namun dia gagal memenuhi perkara yang asasi iaitu jiwa yang khusyuk yang benar-benar memohon dengan penuh erti seorang hamba. Tumpuan perasaan kepada Tuhan dengan penuh kerendahan diri dan harapan. Jika unsur itu dipenuhi, kemudian diikuti dengan tempat ataupun waktu yang mustajab maka doa menjadi amat mustajab.Setelah kita memahami hal ini, maka kita cuba memahami bahawa Allah menjanjikan untuk memustajabkan doa mereka yang berpuasa. Ini kerana, puasa pada bulan Ramadan dapat membentuk jiwa yang khusyuk. Ramadan pula waktu yang Allah sayang disebabkan bulan pilihanNYA dan suasana hamba-hambaNYA taat kepadaNYA. Maka Allah setelah menyebut tentang kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan, maka Allah ikuti dengan janjiNYA di mana DIA berfirman: (maksudnya):

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah: 186).

 
BOLEHKAH SOLAT TARAWIH + WITIR HANYA 11 RAKAAT?Hal ini ada keluasannya. Jangan berbalah sehingga menafikan solat 11 ataupun 20 rakaat.Berdasarkan riwayat yang sahih dalam al-Muwata karya al-Imam Malik bin Anas, bilangan rakaat yang Saidina Umar perintah untuk dilaksanakan adalah sebelas rakaat. Kata al-Saib bin Yazid:“Umar telah memerintahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat” (Riwayat Malik).

Maka dengan itu riwayat al-Baihaqi melalui Yazid bin Khasifah daripada al-Saib bin Yazid yang menyebut bilangan yang ‘Umar perintahkan sebanyak dua puluh rakaat adalah bercanggah dengan riwayat sebelas rakaat yang sahih tadi. Sedangkan dari segi kekuatan riwayat (sanad), riwayat sebelas rakaat itu lebih kuat, maka kalangan ulama hadis ada yang menganggap riwayat dua puluh shaz (ganjil) kerana menyanggahi rawi yang lebih kuat.

Justeru, riwayat dua puluh dihukum daif oleh sesetengah ahli hadis. Sebahagian pula menerima riwayat 20 rakaat Yazid bin Khasifah dan mentakwilkan bahawa ada hari Umar memerintahkan sebelas rakaat dan ada hari pula yang diperintahkan 20 puluh.

Apapun, hadis al-Imam Malik tadi yang menyebut sebelas rakaat menafikan dakwaan yang menyatakan sesiapa yang solat tarawih beserta witir sebelas rakaat tidak sah.

Sebenarnya, para ulama salaf solih sendiri berbeza pendapat tentang bilangan rakaat bagi solat tarawih bersama witir. Antaranya, pendapat yang menyatakan empat puluh satu, tiga puluh sembilan, dua puluh sembilan, dua puluh tiga, tiga belas dan sebelas. Adapun dari segi riwayat amalan Nabi s.a.w, Ummul Mukminin Aishah r.aha ditanya mengenai solat Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan, jawab beliau:

“Rasulullah s.a.w tidak pernah melebihi sebelas rakaat samada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini juga menunjuk perbuatan mencela solat tarawih sebelas rakaat adalah tidak sepatutnya. Bahkan ramai juga ulama hadis yang mengutamakan bilangan sebelas rakaat ini sebagai mencontohi Rasulullah s.a.w.

Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah. Lajnah Tetap dan Kajian Ilmiah serta Fatwa, Arab Saudi sendiri ketika mengulas hal menyebut:

“Tiada menjadi salah untuk menambah lebih dari sebelas kerana Nabi s.a.w tidak pernah menghadkannya sedikit pun. Bahkan apabila ditanya tentang solat malam baginda menyebut: “Dua rakaat, dua rakaat (secara dua rakaat setiap solat), jika seseorang kamu bimbang masuk waktu subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir kepada apa yang telah dia solat sebelum” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini baginda tidak menghadkan sebelas atau selainnya. Ini menunjukkan ada keluasan dalam solat malam pada Bulan Ramadan atau selainnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/195, Riyadh: Riasah Idarah al-Buhuth).

 
SIAPAKAH YANG MEMULAKAN SOLAT TARAWIH BERJEMAAH?Solat tarawih berjemaah yang pertama dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Sesiapa yang membaca hadis, akan menemui hal ini. Daripada Aishah r.aha:“Sesungguhnya RasululLah s.a.w keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda. Paginya orang ramai pun bercerita mengenainya. Maka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua), baginda pun solat, mereka solat bersama baginda. Paginya orang ramai pun bercerita. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. RasululLah s.a.w keluar bersolat, mereka solat bersama baginda. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan orang yang hadir. (Baginda tidak keluar) sehinggalah baginda keluar pada solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, baginda bersyahadah, dan bersabda amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kamu, tetapi aku bimbang difardukan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu. Sehinggalah RasululLah s.a.w wafat dalam keadaan begitu (tiada jamaah tarawih di masjid)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Hadis ini dengan jelas menunjukkan Nabi s.a.w yang memulakan solat qiam Ramadan atau disebut sebagai tarawih secara berjemaah dengan satu imam. Bukan ‘Umar r.a yang memulakannya. Namun baginda berhenti kerana bimbang ia menjadi kefarduan disebabkan simpati baginda kepada umat. Ini kerana zaman tersebut adalah zaman wahyu diturunkan atau zaman pensyariatan. Baginda tidak berhenti kerana ia salah atau tidak diizinkan, namun berhenti bimbangkan Allah fardukan kepada umat sedangkan umat ini mungkin ada yang tidak sanggup.

Maka dari hadis ini, solat tarawih berjemaah adalah sunnah yang jelas. Sahabat selama tiga hari telah solat di belakang baginda. Jika tidak kerana kebimbangan itu, tentu baginda meneruskannya. Apabila baginda wafat kebimbangan itu tiada lagi. Wahyu sudah terputus. ‘Umar pun menghidupkannya kembali. Pada zaman Abu Bakr, terlalu singkat masanya, dan mungkin beliau tidak berkesempatan menguruskan hal tersebut disebabkan berbagai kesibukan seperti kes murtad dan seumpamanya, atau beliau tidak melihat keperluan untuk itu.

 
Tidak Sengaja Tidak Batal PuasaPerbuatan yang tidak sengaja, dipaksa ataupun terlupa seperti makan dan minum tidak membatalkan puasa. Sekalipun seseorang itu telah makan dan minum dengan banyak sekali. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang lupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikan dia makan dan minum” (Riwayat al-Bukhari).Demikianlah semua perbuatan yang tidak sengaja ataupun terlupa. Termasuk terkeluar air mani disebabkan mimpi atau terfikir secara yang tidak diusahakan. Jumhur ulama menyatakan tidak batal puasa. Di samping di sana wujudnya pendapat minoriti ulama seperti al-Imam Ibn Hazm, al-San’ani, as-Syaukani dll yang berpendapat keluar mani walaupun dengan sengaja ia tidak membatalkan puasa sebab tiada dalil mengenai hal itu. Adapun majoriti ulama berpendapat batal.Apapun, sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan tidak membatalkan puasa. Termasuklah tertelan air semasa mandi ataupun hujan ataupun suri rumah yang terbiasa merasa makanan ketika masak lalu memakannya kerana lupa, kesemua itu tidak membatalkan puasa.

 
Dengan Apa Bersahur?Tujuan sahur bukan menyibukkan diri dengan hidangan. Makanan sahur memadai sesuatu yang memberikan kekuatan kepada orang yang akan berpuasa esok harinya. Kesempatan sahur patut diambil untuk berdoa dan beristighfar setelah makan dan minum apa yang dapat memberi kekuatan pada besok hari. Sebab itu dalam hadis disebutkan tamar sebagai pilihan sahur disebabkan kandungan tamar yang baik untuk tenaga orang yang berpuasa. Sabda Nabi s.a.w:“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan.

Jika tiada tamar, seseorang boleh sahaja bersahur dengan apa yang memberikan kekuatan untuk berpuasa pada hari tersebut. Mungkin juga ada orang yang tidak gemar tamar, ataupun tidak sesuai tamar untuk kesihatannya, maka agama itu luas untuk diamalkan. Apa yang tidak dapat diamalkan secara literal, boleh dihayati secara maksud ataupun kehendak (maqsad) syarak di sebalik sesuatu galakan ataupun perintah.

 
GANGGUAN WAS-WAS
Syaitan telah merosakkan sesetengah orang dengan menjadikan mereka merasa was-was terhadap ibadah mereka seperti was-was ketika berwuduk, solat, puasa dan lain-lain.
Sehingga semasa solat ada yang sering berhenti kerana merasa terkencing ataupun terkentut sekalipun dia tidak pasti benarkah begitu.
Nabi s.a.w mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi s.a.w: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti dia jangan berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.Sempena menjelang Ramadan yang mana setiap kita akan membanyakkan ibadah maka pastikan perasaan was-was syaitan itu jangan dituruti.
 
LARANGAN BERPUASA SEHARI ATAU DUA SEBELUM RAMADANNabi s.a.w melarang kita memulakan puasa sehari ataupun dua hari sebelum masuk Ramadan. Ini kerana syariat mula puasa ditentukan waktu oleh Allah dan RasulNYA bukan sesuka hati manusia. Suasana Ramadan dimulakan pada hari pertama Ramadan berdasarkan anak bulan.Maka tidak boleh seseorang berpuasa sehari ataupun dua hari sebelum Ramadan bermula melainkan seseorang yang sudah menjadi kebiasaannya berpuasa sebelum itu seperti seseorang yang biasanya berpuasa Isnin dan Khamis, secara kebetulan sehari sebelum Ramadan itu Isnin ataupun Khamis, maka dia boleh berpuasa kerana itu kebiasaan sunnah yang telah dia lazimi.Sabda Nabi s.a.w : “Jangan seseorang kamu mendahului Ramadan dengan berpuasa sehari atau dua hari (sebelumnya) kecuali seorang yang berpuasa hari (kebiasaan) puasanya maka dia boleh berpuasa pada hari tersebut” (Riwayat al-Bukhari).

Oleh kerana puasa kita telah diputuskan pada hari Ahad maka esok Sabtu adalah hari yang dilarang kita berpuasa.

 
SAHUR ITU BARAKAHAllah jadikan keberkatan dalam bersahur. Sabda Nabi s.a.w :
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.
 
Muntah dan Termuntah Masa Puasa?Ada yang menyatakan sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya, di sana ada perbezaan antara termuntah dan sengaja muntah. Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:“Sesiapa yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah dia qada”. (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud dan Ibn Hibban).Maka sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya

 
Puasa orang yang terlewat mandi wajib sehingga masuk waktu subuh?Antara lain ialah menganggap tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu subuh sudah masuk. Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu subuh iaitu waktu berpuasa. Ertinya ketika dia mandi wajib, waktu subuh telah masuk.
Sah atau tidak puasa orang seperti ini?
Jawapannya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa Nabi s.a.w pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu)” (Riwayat al-Bukhari).Maka, sesiapa yang terlewat mandi wajib sehingga masuk waktu subuh masih sah puasanya pada hari berkenaan.
 
Korek Telinga Batal Puasa?Antara anggapan lain ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman. Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang bercelak kerana bimbang masuk ke dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas:
“Membatalkan puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar” (riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih).Namun, itu merupakan ulasan Ibnu ‘Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan ia tidak membatalkan puasa. ‘Apa yang masuk’ bermaksud makanan ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tentu maka ia tidak termasuk dalam maksud ini. Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut tentang khilaf ulama, beliau menjelaskan puasa merupakan amalan setiap muslim. Jika perbuatan seperti bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa zaman Nabi itu membatalkan puasa, tentu baginda s.a.w akan menerangkannya. Juga tentu para sahabah akan bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih tentang hal itu, maka menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa. Demikian juga tentang mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.

Maka menggunakan eye drops yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.

 
Mandi Kerana Letih Puasa?Antaranya, anggapan bahawa mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa. Ada pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas asar makruh. Ini tidak disokong oleh riwayat yang menunjukkan Nabi s.a.w mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika berpuasa kerana terlalu panas ataupun dahaga.
Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
 
Bila Sahur?Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi s.a.w. Baginda Nabi s.a.w melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk waktu subuh. Kata Zaid bin Thabit:
“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azandan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk waktu Subuh. Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu. Ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda. Kata isteri baginda ‘Aishah r.aha:
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).Dalam hadis Muslim pula, baginda bersabda:
“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.

Hal ini selaras dengan kenyataan al-Quran: (maksudnya):
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).

 
WANITA HAMIL DAN MENYUSU
 
Kata Ibn ‘Abbas: “Jika wanita hamil bimbang (kesihatan) dirinya, ataupun ibu yang menyusu bimbangkan anaknya -pada bulan ramadan- maka mereka boleh berbuka dan (menggantikannya) dengan memberi makan setiap hari seorang miskin (iaitu membayar fidyah) dan mereka TIDAK PERLU mengganti puasa ( tidak wajib qada puasa)” – riwayat al-Tabari sanadnya memenuhi syarat sahih al-Imam Muslim.
 

BOLEHKAH MENCIUM DAN BERMESRAAN DENGAN ISTERI SEMASA BERPUASA?

Seorang yang berpuasa boleh untuk mencium dan bermesraan dengan isterinya selagi dia tidak melakukan persetubuhan. Jika dia tahu dia bahawa dia tidak mampu mengawal diri maka hendaklah dia mengelakkan cium dan ‘kemesraan yang lain’.

Kata ‘Aishah: “Nabi s.a.w mencium dan bermesraan dengan isteri sedangkan baginda berpuasa. Baginda itu paling dapat mengawal kemaluannya” (Riwayat al-Bukhari)

Masruq pernah bertanya ‘Aishah: “Apakah yang halal untuk lelaki lakukan kepada isterinya semasa berpuasa?”. Jawab ‘Aishah: “Semua perkara kecuali persetubuhan” (Riwayat ‘Abd al-Razzaq dengan sanad yang sahih).

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.