Nota SIM5/2016: Kisah Zulaikha

Lain-lain ,
ZULAIKHA BUKAN PENGGODA

Zulaikha adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam sejarah Islam. Namanya dikaitkan dengan seorang lelaki tampan iaitu Nabi Yusuf. Beliau juga merupakan seorang isteri pemimpin yang bijak dalam menentukan keputusan.

Siapakah Zulaikha yang sebenarnya?

Zulaikha merupakan gelaran kepada seorang wanita yang bergelar isteri kepada pemimpin Mesir. Beliau merupakan majikan kepada Nabi Yusuf setelah al-Aziz (Pemimpin Mesir) membeli Nabi Yusuf untuk dijadikan pekerja di rumahnya.

Setelah Yusuf semakin dewasa dan kacak, Zulaikha mula menaruh hati terhadap Yusuf dan ingin mendekatinya. Rancangan demi rancangan diatur, Zulaikha akhirnya cuba memerangkap Nabi Yusuf ketika ketiadaan al-Aziz, namun Yusuf dikuatkan oleh Allah untuk menolak ajakan Zulaikha dan berjaya melarikan diri ke pintu.  Melihat kemunculan suaminya dan seorang penasihat suaminya, Zulaikha pantas mengalih keadaan dengan memfitnah Yusuf apabila rancangannya gagal dan diketahui oleh al-Aziz.

Berita Zulaikha cuba menggoda anak muda yang dibelanya sedari kecil tersebar luas dan beliau ditertawakan oleh masyarakat.  Zulaikha tidak hanya mendiamkan diri malah terus berusaha untuk mendapatkan Yusuf sehinggalah Yusuf rela dipenjarakan untuk menjaga dan membela maruah Yusuf sendiri. Melalui doa yang dititipkan oleh Yusuf kepada Allah swt, al- Aziz telah memenjarakan Yusuf.

Setelah beberapa tahun di penjara,  Yusuf dibebaskan apabila Zulaikha telah mengaku bersalah dengan apa yang berlaku sebelumnya. Zulaikha bertaubat dan benar- benar beriman kepada Allah swt.

Zulaikha amat mengagumi dengan akhlak Nabi Yusuf walaupun difitnah. Oleh kerana itulah Zulaikha mengaku akan kesalahan walaupun tidak diminta untuk melalukan sedemikian  dan bertaubat.

Nilai-nilai Yang Dipelajari

Biarpun Zulaikha lebih terkenal sebagai wanita penggoda, namun beberapa nilai-nilai darinya boleh dicontohi.

1. Tidak Pernah Berputus Asa

Jika beliau mengingini sesuatu, beliau tidak berputus asa malah terus melakukan pelbagai usaha untuk mencapai apa yang diinginkan.  Kesilapannya ialah mengingini manusia yang tidak halal baginya, namun kita boleh mempelajari sikapnya itu dan menyalurkan nilai tidak berputus asa dalam mencapai keredhaan Allah dan menyebarkan agama Allah.

2. Berani Menyuarakan Pendapat

Sebaik tertangkap oleh suaminya ketika cubaan menggoda Yusuf tidak berjaya, beliau tidak teragak-agak untuk memberikan pendapat agar Yusuf disiksa atau dipenjarakan.  Ketika ini, niatnya salah.  Namun setelah beliau bertaubat, beliau lantas menjadi saksi kebenaran Yusuf walaupun tidak diminta untuk berbuat demikian.

3. Bertaubat Sebelum Maut

“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Perkara penting yang kita dapat pelajari dari kisah Zulaikha ialah untuk bertaubat dari segala dosa sebelum ajal tiba, kerana ketika itu, segalanya tidak berguna lagi.  

“Janganlah kalian bertengkar di hadapan-Ku, padahal sesungguhnya Aku dulu telah memberikan ancaman kepada kalian. Keputusan di sisi-Ku tidak dapat diubah, dan Aku sama sekali tidak berbuat zalim (menganiaya) terhadap hamba-hamba-Ku.” (Surah Qaf: 28-29)

Sesungguhnya setiap dari kita adalah pendosa, masih tidak terlambat untuk kita bertaubat dan tidak mengulangi setiap dosa yang dilakukan.  Teruskan berdoa agar Allah memberikan kita kekuatan untuk kekal istiqamah di dalam melakukan perubahan di dalam diri.

“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas agamuMu” (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi ‘Asim- dinilai sahih).

“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).

Oleh:  Nurul Erna Dewi Mohd Said & Farwina Faroque

Nota penuh boleh didapati di:

http://www.slideshare.net/MIZAN_Sisters/nota-sim-52016-kisah-zulaikha-part-13

http://www.slideshare.net/MIZAN_Sisters/nota-sim-52016-kisah-zulaikha-part-23

http://www.slideshare.net/MIZAN_Sisters/nota-sim-52016-kisah-zulaikha-part-33

20161001_084340 20161001_084358 20161001_084734 20161001_084826 20161001_085404 20161001_085410

2 thoughts on “Nota SIM5/2016: Kisah Zulaikha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.