Nota: Jejak Ulama-ulama Wanita Melayu

Article

Jejak Ulama-ulama Wanita Melayu

Dalam wacana bertajuk Jejak Ulama-ulama Wanita Melayu yang disampaikan oleh Puan Fadhlina Sidek baru-baru ini di Jejak Tarbiah, ada dua nama besar yang diperkenalkan pada petang Ahad tersebut sepanjang sesi berlangsung. Peribadi yang dimaksudkan adalah Raja Badariah binti Raja Muhammad Tahir dan Raja Aisyah Raja Sulaiman.

Ulama Wanita Yang Kisahnya Dilupakan

Kita mungkin mengenali Kartini sahaja selain beberapa tokoh wanita Melayu lain. Jadi, tidaklah menghairankan jika kita tertanya-tanya tentang kisah dan ketokohan dua orang ulama wanita Melayu ini yang tersorok kisahnya di sebalik sejarah.

Raja Badariah binti Raja Muhammad Tahir adalah saudara kandung kepada Raja Muhammad Said. Bapanya, Raja Muhammad Tahir adalah seorang ulama besar ilmu falak Riau. Beliau dibesarkan dalam persekitaran keluarga intelektual Riau-Lingga dan pernah mengarang kitab. Raja Badariah berkahwin dengan Raja Ali, iaitu saudara sepupunya dan memiliki anak, salah seorangnya bernama Raja Fatimah. Mendapat didikan dan asuhan daripada ayahnya, Raja Muhammad Tahir, beliau adalah seorang ‘alimah dan diiktiraf salah seorang tokoh ulama perempuan Riau-Lingga yang penting.

Antara catatan berkenaan dirinya termasuk satu riwayat yang ditulis sebelum beliau meninggal dunia. Raja Badariah yang sedang sakit ketika itu ditemani oleh suami beliau, Raja Ali sempat menitipkan beberapa pesan dan ini adalah sebahagian daripada pesanan beliau yang disalin semula oleh Raja Ali,

“Kalau mati janganlah ia ditangiskan kerana semua yang bernafas merasai mati,”

Beliau turut meminta supaya suaminya membayar sekiranya ada hutang beras, berkali-kali memohon keampunan daripada Raja Ali, mendengar dan memperbetulkan bacaan surah Yasin suaminya itu bahkan berkata, “Jangan memberatkan diri menjamu orang ramai atau memanggil orang ramai bertahlil, memadailah dengan Abang Ali sahaja.” Beliau bertemu Rabbnya dengan tenang selepas berulang kali mengucap diajar oleh Raja Ali dalam keadaan beliau berpaling ke arah kiblat.

Pesan-pesan kematian yang unik ini hanyalah sebahagian daripada versi penuh pesanan Raja Badariah yang bermakna. Cantiknya pesanan beliau ini tidaklah kerana ia ditulis dalam Bahasa Melayu klasik semata. Sebaliknya ia menitipkan perbuatannya, persediaan serta permintaan beliau sebelum kematian termasuk mengangkat tangan mendoakan kebaikan buat seluruh kerabatnya selepas dipinta oleh Raja Ali. Suatu hal lagi yang boleh kita pelajari daripada beliau adalah sewaktu sakit, beliau tidak ingin membebankan hati orang, dikatakan bahawa sakitnya itu tiada apa-apa. Betapa sabarnya beliau berdepan kesakitannya ketika itu.

Ulama kedua, Raja Aisyah Raja Sulaiman pula adalah cucunda Raja Ali Haji yang masyhur. Beliau lahir di Pulau Penyengat sekitar tahun 1870 dan dibesarkan di perkarangan istana di Riau. Raja Aisyah memiliki ketajaman fikiran kerana pengaruh intelektual di sekelilingnya. Beliau berjodoh dengan saudara sepupunya iaitu Raja Khalid Hitam. Seperti dirinya, Raja Khalid Hitam mempunyai intelektual yang seiring, aktif dalam perjuangan mengusir Belanda, ahli politik-diplomatik serta pengarang. Raja Aisyah sendiri diajar oleh suaminya bermacam-macam kemahiran termasuk kemahiran berbahasa.

Mereka adalah Pengarang dan Pemikir

Jika Raja Badariah dikenali sebagai penterjemah atau pengarang kitab Adab Al-Fatah serta beberapa judul lain seperti Mathba’ah al-Usrah dan Mathba’ah Al-Ahmadiah, Raja Aisyah pula diketahui adalah wanita Melayu pertama yang berani mengetengahkan perihal emansipasi wanita. Walaubagaimana pun, rujukan di luar sana mengatakan masih sukar menemui karya-karya beliau selain tiga buah hikayatnya yang terkenal seperti Hikayat Syamsul Anwar, Syair Khadamuddin dan Syair Seligi Tajam Bertimbal. Kesukaran menemukan karya-karya beliau adalah dikatakan beliau sering menggunakan penyamaran di sebalik karyanya.

Sesuatu yang menarik mengenai hasil karangan kedua-dua tokoh ini bukan sahaja ia berbeza sudut pandang, mereka menulis concern dari segi apa yang mereka fikir, lalui lalu, diluah. Melalui kitab Adab Al-Fatah tulisan Raja Badariah, intinya adalah menjurus kepada pendidikan dan pembinaan akhlak. Pada permulaan kitab ini dituliskan,

“Kehendakku menterjemahkan kitab ini kerana anak-anak bangsaku yang dikasihi, dan tanah airku yang disayangi, istimewa pula memelihara, dan mengajar, dan melatih, dan membiasakan kanak-kanak pada semula jadinya dengan perangai yang elok dan tingkah laku yang baik. Itu adalah wajib dipersungguhkan lebih daripada mengajar ilmu pengetahuan.”

Hujung kata-katanya itu menegur tentang adab, perangai dan tingkah laku yang elok adalah lebih baik dibanding ilmu pengetahuan yang banyak. Suatu teguran yang mengingatkan setiap lelaki dan perempuan tanpa mengira umur betapa penting memiliki akhlak yang baik. Jika kita renung dan selami, teguran beliau ini amat relevan untuk tahun-tahun kita seperti sekarang, 2019. Perhatikan sahaja generasi kita hari ini. Lebih-lebih lagi di media sosial serta yang terlibat dalam gejala sosial di luar sana. Lihat pula petikan yang seterusnya,

 “Maka ilmu pengetahuan dengan tiada beserta perangai kepujian itu tiadalah boleh diharap mendapat kejayaan di dalam tubuh perhimpunan manusia ini kerana selalu kedapatan orang yang berilmu yang tiada baginya adab dan perangai yang baik. Terkadang dengan ilmu yang semata-mata itulah yang menolong ia berbuat kejahatan.”

Inti nashkah Raja Badariah ini adalah suatu bentuk didikan ke atas umat supaya menjadi manusia yang berakhlak baik dan merendah diri seiring ilmu. Ada benarnya maksud kata-kata beliau. Lebih-lebih lagi jika kita memikirkan kata-katanya yang di akhir itu.

Melihat karya-karya Raja Aisyah yang dikenali pula, seperti Hikayat Syamsul Anwar dan Syair Khadamuddin, kata-katanya menunjukkan perasaan. Ada watak yang diketengahkan dan ada cerita yang berjalan. Ada kritikan yang tajam tetapi benar seperti yang dikarang dalam Syair Seligi Tajam Bertimbal. Paling menarik, karyanya tebal, penuh penghayatan, klasik tetapi kaya seperti di bawah,

Tengah malam nyata sempurna,
Ayam berkokok menderu bahna,
Menambah hatiku gundah gaulana,
Mengenangkan bangsa hamba yang hina.

Bulan pun terang bersinar cahaya,
Menyuluhi alam serata dunia,
Berkilatan daun-daun disinari dia,
Dituliskan syair seberapa daya.
(Petikan diambil daripada journalarticle.ukm.my/448/1/1.pdf – tulisan Prof Ding Choo Ming)

Raja Aisyah, sekalipun penulisannya cenderung ke arah emansipasi wanita, selamilah kehidupannya yang sering menjaga solat dan amalan-amalan lain.

Mengarang

Selain siapa yang menulis, kandungan tulisan adalah sama penting. Bukan sekadar dari sudut penulisannya dapat kita menjejak sejarah, tetapi juga kehidupan pada waktu itu. Jika kedua-dua ulama wanita ini mendapat didikan pertamanya daripada bapa mereka, seterusnya persekitaran sehingga menjadikan mereka kekal dalam disiplin ilmu dan kehidupan, ini sedikit sebanyak menggambarkan didikan terbaik bermula dari rumah. Inilah juga apa yang dilalui oleh Imam As-Syafie yang melalui sendiri Intellectual Journey yang disusun oleh ibunya. Sebagaimana yang disebut oleh Puan Fadhlina, ibunya telah menyusun persediaan untuk Imam As-Syafie sejak beliau masih di dalam kandungan.

Karya pengarang juga membuka ruang buat kita mengetahui apakah zaman penulis, minda dan ideanya. Jika ulama-ulama wanita ini (sekalipun baru mengenali dua daripada mereka) dengan serba terhad peluang belajar yang ada pada zaman itu masih mampu menjadikan mereka pemikir, pengarang bahkan ulama, apakah alasan kita yang melalui pelbagai bidang ilmu hari ini dengan segala macam urusan yang multi-tasking, ditambah lagi dengan beberapa pencapaian dalam hidup serta kemudahan menulis dengan komputer dibanding kertas dan pen, untuk tidak menulis dan berkongsi ilmu yang bermanfaat?

-Suzilawati Abdullah
Naib Setiausaha MIZAN 2019-2021-
Sumber: Nota daripada sesi Puan Fadhlina & bacaan lain.
Video Kuliah: http://mizan.my/wacana-ulama-wanita-melayu/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.