KEPIMPINAN WANITA MUDA: Memimpin atau Dipimpin

Lain-lain

DEFINISI KEPIMPINAN DAN KEPIMPINAN WANITA MUDA
Panel: Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj

“Kepimpinan, walaupun bercambah daripada kata akar pimpin (lead), dari sudut Bahasa Melayu pimpin bererti beriringan dengan orang yang dipimpin. Meskipun sederap di hadapan orang yang dipimpin, kedua-duanya tetap bergandingan.” Definisi dalam Bahasa Melayu ini ternyata indah dan inklusif sebagaimana yang dihuraikan oleh panelis pertama Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj atau mesra dipanggil Dr. Har.

“Kepimpinan akan lebih efektif apabila beriringan”. Tambah beliau lagi. Malah, Dr. Har turut menjelaskan perbezaan makna pimpin ini dengan kata ‘lead’ yang bererti meneraju atau mengetuai di mana ianya jelas berbeza dari segi tindakan. Orang yang memimpin juga perlu jelas akan sebab dan tujuannya memimpin. Begitu juga kesannya ke atas pengaruh. Pengikut yang dipengaruhi akan mengikuti pimpinannya. Poin ini sekaligus menunjukkan bahawa dipimpin dan memimpin bukanlah dua perkara yang berbeza tetapi seiring. “Pemimpin yang baik datang daripada pengikut yang baik”, terang pengasas merangkap penasihat NGO Mizan dan Pengarah Pusat Citra, UKM ini.

Selaku pakar sakit puan, Dr. Har ada memberikan pandangannya apabila diminta mengulas siapakah yang tergolong sebagai wanita muda? “Wanita muda adalah mereka yang berusia 45 tahun ke bawah.” Ujarnya sambil turut menghuraikan kategori wanita mengikut kumpulan umur.

Menyebut tentang kepimpinan wanita muda pula, perkara yang paling penting dan perlu ada dalam diri seorang wanita adalah keyakinan diri, keupayaan, potensi serta bakat yang boleh disumbang. Kedua, pemimpin wanita perlu berwawasan dan berstrategi. Ketiga, mampu dan sentiasa berusaha untuk pembelajaran sepanjang hayat. Pada pandangan beliau, pemimpin wanita perlu memiliki definisi ini sekiranya mereka tidak mahu didefinisikan oleh orang lain tentang kepimpinannya.

Memetik satu poin penting dalam buku Helena Morissey bertajuk A Good Time to be a Girl, Dr. Har ada berkongsi kata-kata ini,“Do not just lean in. Change the system.” Ia suatu teguran yang memberi bayangan bahawa dalam kepimpinan, wanita sebenarnya mampu memikul peranan yang lebih besar  seperti mengubah sesuatu sistem dan keadaan.

KETERLIBATAN WANITA MUDA SEBAGAI AKTIVIS MASYARAKAT
Panel: Puan Vatsala Nair Manoharan

Puan Vatsala Nair Manoharan, CVO NGO Mom’s Village yang memfokus kepada mengupayakan wanita-wanita yang menjadi mangsa keganasan sosial pula, ketika menyatakan pandangannya tentang penglibatan wanita muda sebagai aktivis sosial, telah secara langsung berkongsikan pengalamannya sendiri terlibat dalam bidang ini. Semuanya bermula lima tahun dahulu sewaktu beliau masih bergelar suri rumah tetapi dalam masa yang sama menyertai kumpulan peer support melalui platform media sosialnya. Di situlah beliau mula terdedah dengan kelompok wanita-wanita yang dianiaya, didera fizikal juga emosi dan dalam masa yang sama amat memerlukan bantuan serta telah bersuara, tetapi tidak mahu berbuat apa-apa kerana amat risau tentang masa hadapan mereka, maruah diri dan keluarga.

Bertitik tolak daripada advokasi atas talian, Puan Vatsala telah terlibat mempelajari serta mengkaji isu-isu yang dialami oleh golongan wanita ini sehinggalah tiga tahun lalu, beliau bertindak memulakan kempen #RM10 bertujuan menggalakkan kecerdasan kewangan. Kini peranannya semakin luas dengan menawarkan latihan, khidmat kaunseling serta platform di sosial media yang berhubung secara berterusan. Bagi Puan Vatsala, peranannya sebagai aktivis bukan sahaja membantu golongan yang sangat memerlukan sokongan keluar daripada masalah kebergantungan sumber kewangan kepada pasangan, malah menyuntik power restoration supaya mereka menjadi yakin diri untuk keluar daripada keganasan tersebut.

Beliau yang juga turut terlibat dalam pelbagai aktiviti sosial lain, turut melihat keterlibatan wanita muda dalam bidang aktivis sebagai sesuatu yang datang daripada sifat dalaman wanita, iaitu sifat empati dan keibuan itu sendiri. Kedua-duanya adalah aset semulajadi wanita yang menggerakkan kepimpinan. Malah, poin ini juga disokong oleh Dr. Har yang memetik sebahagian buku Helena Morissey – A Good Time To Be A Girl berkaitan nilai kewanitaan yang terdiri daripada empati, kolaborasi dalam memimpin (collaborative behavior) serta keupayaan berhubung secara emosi dengan pimpinannya.

Sebagai menyambung perkongsian daripada Dr. Har tentang nilai diri wanita, Puan Vatsala turut menyatakan bahawa pentingnya kepimpinan yang bermula dari rumah dan pentingnya pendedahan skil kepada anak-anak sejak di awal usia.

ISLAM DAN KEPIMPINAN WANITA
Panel: Puan Fadhlina Siddiq

“If you want something said, ask a man; if you want something done, ask a woman.” – Speech to National Union of Townswomen’s Guilds Conference on May 20, 1965 by Margaret Thatcher.

Dogma agama tentang kepimpinan wanita sedikit sebanyak masih membelenggu pemikiran masyarakat negara ini. Terdapat beberapa mitos yang masih perlu diperbetulkan. Jika dikatakan wanita bukanlah seseorang yang bercita-cita tinggi dan wanita tidak mampu memimpin, ini ternyata bercanggah dengan bukti pencapaian wanita dalam bidang masing-masing. Sebagai contoh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri yang sebelum itu juga giat membawa Parti Keadilan setaraf dengan parti-parti senior.

Wanita juga dianggap memberi ancaman kepada kepemimpinan lelaki. Hal ini dilihat sebegitu kerana masyarakat telah selesa dengan suasana patriaki yang diwarisi dari pelbagai era. Walaupun begitu, tidak semua lelaki juga menentang pemerkasaan wanita dalam jalur kepimpinan. Dapat dilihat di sini, tiada halangan yang menghalang wanita untuk menerajui kepimpinan dan pengukuhan ini dapat disokong sepertimana dalam firmanNya dalam surah At-Taubah, ayat 71 yang tidak membandingkan lelaki dan wanita tetapi meletakkan setiap individu tersebut mempunyai tanggungjawab di atas setiap bahu mereka.

“Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Mahaperkasa, Mahabijaksana.” – At Taubah: 71

Bagi menterjemah hasrat memperkasa kepimpinan wanita, isu gender telah diletakkan dalam pembinaan dasar arus perdana. Dengan wujudnya akademi kepimpinan wanita, ianya dapat dilihat dapat membantu mencapai hasrat memaknai keberadaan wanita dalam sesebuah atmosfera kepemimpinan.

WANITA DALAM PARTI MUDA (MALAYSIAN UNITED DEMOCRATIC ALLIANCE)
Panel: Puan Afiqah Zulkifli

(MUDA) Malaysian United Democratic Alliance ataupun Ikatan Demokratik Malaysia adalah sebuah parti politik baharu yang ditubuhkan pasca kejutan krisis politik yang memberi perubahan kepada tampuk kepimpinan utama negara baru-baru ini. Parti ini ditubuhkan oleh mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 17 September 2020. Tidak sampai sebulan ditubuhkan, MUDA dilihat tampil dengan membawa moto budi-tara-serta dengan polisi dan pendekatan yang lebih unik. Bermatlamat menghapuskan budaya golongan muda hanya diletakkan di posisi sayap kepartian, pada kali ini golongan muda menerajui parti secara holistik.

Status quo dalam parti sedia ada telah menyekat kebolehberadaan golongan muda sebaris dengan kepimpinan utama. Oleh sebab itu, MUDA mencantas faktor senioriti dan juga gender dengan membawa pendekatan penglibatan secara sama rata juga meletakkan penubuhan parti politik ini bebas daripada sentimen perkauman, keagamaan dan latar belakang kefahaman budaya yang berbeza. Stigma politik yang masih mengguna pakai latar belakang susur galur keturunan untuk meletakkan seseorang sebagai pemimpin perlu dilihat semula sedangkan kebolehan setiap individu adalah berbeza. Isu kroni dalam memberi peluang menerajui kepimpinan sebagai imbuhan kepada kesetiaan sokongan juga perlu dilihat secara serius. Hal ini adalah satu cabaran bagi sebuah parti baharu dalam usaha memecahkan tembok tradisi yang sudah sekian lama terbina.

Bagi mengekang halangan-halangan tersebut, political will adalah satu perkara penting yang akan membantu dalam usaha meraih sokongan masyarakat. Membentuk sebuah parti bertunjangkan politik khidmat yang mudah untuk didekati oleh masyarakat, memupuk kepercayaan masyarakat ke atas golongan muda dalam menerajui kepimpinan dan tidak meletakkan gender sebagai bias partisipasi dalam kepimpinan adalah perlu agar dapat melahirkan satu suasana politik baharu.

Seiring dengan penubuhannya sebagai parti baharu dan bagi memastikan kebolehupayaan kepimpinan wanita juga ditonjolkan, setiap parti politik perlu berani mempertaruhkan jawatan kepada wanita. Hal ini perlu disokong dengan membentuk sebuah ekosistem politik yang mempunyai sistem perwakilan yang seimbang. Ini sudah tentu dapat melahirkan suatu suasana politik baharu yang lebih inovatif dan segar seiring pembentukan negara yang efisyen serta berintegriti.

Tonton diskusi penuh di sini:

Ditulis oleh

Suzilawati Abdullah, Naib Setiausaha MIZAN
Arniza Khairani Mohd Jamil, ExCo MIZAN
Siti Nor Fazlina Abdul Hamid, ExCo MIZAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.