Isteri Tempatnya Di Belakang Suami

Article

Naratif isteri tempatnya di belakang suami mesti diubah. Sayang sekali masyarakat terutamanya wanita masih disumbat dengan idea-idea salah tentang hak sebagai seorang wanita (dan isteri) yang seolah-olahnya hanya mulia jika diam dan tunduk di belakang suami.

Dahulu kita sering dimomokkan dengan ‘bergegar arasy jika meminta cerai’, lalu berbondong-bondonglah golongan yang menggelar diri mereka agamawan menjual hadith palsu berkenaan. Ditambah lagi dengan hadith lemah tentang perkara yang paling dibenci Allah ialah talak. Bagaimana perkara yang begitu kontradik (bercanggahan) ini boleh dibiarkan berleluasa di dalam masyarakat Muslim di Malaysia?

Allah menghadiahkan Surah at-Talak demi memujuk, membela dan menguatkan wanita yang bercerai; namun apa yang sering dijaja dan dipopularkan oleh golongan tertentu ialah hadith-hadith yang tidak langsung membela hak wanita ini. Apakah mereka tidak yakin bahawa Allah lebih tahu kebijaksanaan dan kemampuan wanita untuk mendapatkan hak ini; lalu mereka membuat keputusan untuk menyembunyikan hak bercerai demi ‘menjaga wanita dari menyalahgunakan hak bercerai’?

Benar wanita Muslim tidak boleh menceraikan suami. Tidaklah pula perlu anda sebagai wanita Muslim menjadi taksub untuk memikul tanggungjawab ini hanya kerana Allah beratkan lelaki dengan membenarkan suami menceraikan isteri. Ingatlah, jangan fikir lelaki adalah kayu ukur keimanan dan kebijaksanaan seorang wanita. Lelaki bukan kayu ukur kita.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (AlHujurat 13)

Lihatlah pula hadith ini bilamana seorang wanita datang kepada rasulullah dan menyatakan hasratnya untuk bercerai.

“Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya”. Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia” (Riwayat al-Bukhari). Membenci kekufuran dalam Islam bermaksud penderhakaan terhadap suami yang akhirnya menyerupai kaum yang tidak beriman. (Sumber: http://drmaza.com/home/?p=1076)

Hadith ini jelas menunjukkan Nabi SAW memperakui hak wanita berkenaan untuk menuntut cerai, biarpun dari suami yang sangat menjalankan tanggungjawab ke atas isteri – kerana wanita berkenaan tidak mahu berdosa kerana tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri, tidaklah pula nabi terus memaksa beliau untuk menjalankan sahaja amanah beliau sebagai isteri.

Bukanlah kita ingin menggalakkan perceraian. Namun, jangan pula kita menyangkal isu hati manusia dan wanita terutamanya yang tidak sama seperti kita. Ada wanita yang tidak dapat menganggung emosi yang terganggu; biarpun bukan disebabkan dipukul suami atau didera secara emosi.

P/S: belum lagi isu ‘Payung Emas’, dalil palsu yang paling laris di Malaysia. Untuk mengetahui dan memahami hak wanita Muslim dari sudut perundangan, anda boleh ke
http://mizan.my/kursus-asas-perundangan-hak-hak-wanita/

Farwina Faroque
August 20 at 1:47 PM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.