HANYA KERANA DIA SEORANG WANITA

Article
Gadis-Air-MineralIsu Gadis Air Mineral Shell menjadi tular beberapa hari ini memberi impak kepada masyarakat. Ia bukan sahaja menjatuhkan martabat seorang wanita Muslim, tetapi ia juga menunjukkan bahawa ceteknya pemikiran masyarakat di Malaysia sehingga bertindak keterlaluan dengan aksi yang tidak sopan. Ini turut mendapat reaksi dari pelbagai pihak termasuk media antarabangsa seperti BBC.

 

Diakui, ianya adalah sebuah papan iklan yang menjadikan seorang wanita sebagai model. Namun, ia tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang awam melakukan sesuatu tanpa memikirkan maruah diri seorang wanita yang harus dipelihara. Kelakuan individu yang bertindak di luar kawalan itu sememangnya mencerminkan diri dan imej mereka sendiri yang menjatuhkan kredibiliti seorang lelaki baik.

 

Shell sebagai sebuah syarikat petroleum di Malaysia pastinya telah membuat kajian sebelum melaksanakan strategi pemasaran yang dianggap untuk meraikan pelanggan-pelanggan Shell dengan meletakkan “duta” di setiap tempat mengisi minyak. Wajah Nor Shafila Khairulsalleh yang ceria itu pastinya memberi keceriaan kepada pelanggan Shell yang datang. Tidak wajar menyalahkan pihak Shell kerana menggunakan wanita dalam aktiviti pemasaran yang dijalankan.

 

Terima kasih pihak Shell kerana memilih wajah gadis harian yang mencerminkan masyarakat umum di Malaysia tanpa tunduk patuh kepada kehendak komersial yang sering memaparkan gadis-gadis persis super model.  Syabas diucapkan kepada Shell kerana telah mengambil inisiatif untuk menurunkan semua poster tersebut bagi mengelakkan insiden seperti ini berlaku lagi.

 

Muslimah Interest Zone And Networking (MIZAN) kesal dengan kenyataan oleh beberapa individu berpengaruh yang menyalahkan Shell mengambil Shafila sebagai model poster tersebut. Ia membuka ruang mangsa dipersalahkan (victim blaming) manakala membenarkan penjenayah melakukan sesuka hati hanya kerana model itu seorang wanita. Sedangkan model tersebut berpakaian lengkap menutup aurat.

 

Telah diperjelaskan dalam ayat di bawah :

 

Allah berfirman:

 

Sesiapa yang beroleh petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk itu hanya kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul” [Surah al-Isra, ayat 15]..

 

Kenyataan-kenyataan ini seolah tidak menghormati wanita yang sepatutnya dilindungi. Ia juga turut menjatuhkan maruah wanita Muslim yang menutup aurat dengan tindakan kurang bijak oleh golongan lelaki yang tidak berfikiran rasional. Wanita menutup aurat bukanlah untuk menjaga iman lelaki. Ia adalah tanda kehambaannya terhadap arahan dr Allah swt.

 

Islam menegaskan bahawa hambanya wajib menjaga pandangan dalam apa jua situasi. Setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri. Oleh itu,  menyalahkan wanita sebagai model bukanlah tindakan yang bijak, tetapi seorang lelaki juga perlu tahu untuk menjaga dan bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri.

 

Menundukkan Pandangan

 

Dalil dari Al-Qur’an
Allah berfirman :

 

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ

 

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”. Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya” [QS. An-Nuur : 30-31].

 

Nabi Muhammad saw adalah lelaki yang memartabatkan serta menjaga hak wanita. Baginda menegakkan ayat ini apabila baginda memalingkan wajah sahabat yg memandang wanita cantik dan bukannya meminta wanita itu menutup wajah atau menyalahkan wanita berkenaan.

 

Ini adalah menurut hadith yg berbunyi;

 

Dari Ibnu Abbas radliyallahu ‘anhu, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah membonceng Al-Fadl lalu datang seorang wanita dari Khots’am. Al-Fadl memandang kepada wanita tersebut –dalam riwayat yang lain, kecantikan wanita itu menjadikan Al-Fadl kagum- dan wanita itu juga memandang kepada Al-Fadl, maka Nabipun memalingkan wajah Al-Fadl kearah lain (sehingga tidak memandang wanita tersebut)

 

Disediakan oleh
Farwina Faroque, Pengerusi dan
Nurul Erna Dewi Mohd Said, Setiausaha

Sumber:

[1] (HR Al-Bukhari no 1513 (Kitabul Hajj) dan no 1854 (Kitab Jaza As-Soid) dan Muslim no 407 (Kitabul Hajj). Dalam riwayat Ahmad pada Musnadnya (1/211) disebutkan bahwa Al-Fadl menyifati wanita tersebut  adalah wanita cantik, dan Al-Fadlpun memandangnya, lalu Nabi mengetahui bahwa Al-Fadl sedang memandang sang wanita maka Nabipun memalingkan wajah Al-Fadl. Kemudian Al-Fadl mengulangi pandangannya lagi namun nabi memalingkan wajahnya kembali hingga tiga kali.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *