Gaza Diserang Lagi

Article

Bismillah…

ISU GHAZZAH: Apakah Kali Ini Bermusim Lagi ???

Setiap minit menerima khabar yang cukup menyangat hati mengenai keadaan saudara mara di Gazzah amat-amat tidak layak untuk hanya sekadar ditangisi. Sebaliknya tindakan, tindakan dan tindakan mesti di segerakan secepat mungkin.

Semasa di Konferans IIFSO dan IYG baru-baru ini di Turki, kita mengambil peluang berbincang dengan banyak delegasi-delegasi, organisasi dan parti politik dari negara-negara arab khusunya negara-negara teluk. Apakah penyelesaian yang sebaiknya untuk isu Gazzah yang semakin melarat yang mereka mampu berperanan. Ada juga baiknya jika organisasi-organisasi Arab ini berusaha mendekati (mendidik dari dalam) ahli-ahli politik masa depan dan mengenal pasti Raja-raja Arab yang bakal menaiki takhta (putera-putera raja, kerabat generasi seterusnya, bukan bapa-bapa mereka yang masih berteduh dibawah ketiak zionis) supaya mereka bersedia untuk membawa satu transformasi besar dalam dasar-dasar pemerintahan mereka semasa mereka berkuasa kelak. Raja-raja sekarang memang sudah di-gam oleh zionis dan seperti sudah putus harapan, jika bala dan hidayah masih belum turun, maka ini (usaha yang dinyatakan) mesti dimulakan. Yang penting, mereka (bakal-bakal penguasa Arab) ini mesti mengiakan apa sahaja kehendak zionis dan Amerika dalam kedaan semasa kerana dikguatiri jika mereka lantang dari sekarang, maka perancangan mencantas mereka dari naik kelak akan dimulakan. Zionis dan Amerika memiliki segala data-data mereka dengan tepat dan rapi. Walau seramai mana sekalipun rakyat yang berdemonstrasi, lebih berkesan lagi jika bakal pemimpin-pemimpin Arab bersatu berdemonstrasi di dalam dewan.

Dalam sejarah, Malik Faisal merupakan seorang anak yang diberi kepercayaan sepenuhnya oleh Malik Abdul Aziz semasa beliau masih bergelar putera Raja. Hal ini kerana kepatuhan beliau dengan dasar-dasar pro- Amerika yang didukung oleh Raja Saudi (bapa beliau) ketika itu menyebabkan Malik Abdul Aziz dan barat percaya beliau juga boleh jadi di’bonekakan.

Walaubagaimanapun, malangnya setelah beliau naik takhta, beliau membuat kejutan apabila secara jelas bertindak menentang Zionis dan Amerika dengan menyekat penguasaan minyak oleh mereka. Dasar ini telah menggeletarkan sumber ekonomi Amerika dan Zionis walau ia hanya mengambil masa tidak lama. Kawan-kawan dari arab ini tetap optimis, Ya, ia jalan yang cukup sukar dan perlu makan masa begitu lama. Mana tidaknya, nak didik orang Melayu yang lemah lembut ni untuk tak makan Mc Donald’s pun payah, inikan pula nak didik generasi Pemerintah Arab yang berhati batu dan bermuka dinding ni. Namun mereka beri jaminan, ia mampu dilakukan bersama InsyaAllah.

Di Iran, pada tahun 1953, Mohamed Mosaddique semasa baru sahaja dipilih secara demokratik oleh rakyat untuk memerintah Iran pada mulanya dilihat juga menjaja Amerika, sehingga beliau dinamakan sebagai Man of The Year oleh majalah TIMES. Siapa sangka saat pemerintahan beliau tiba-tiba sahaja beliau menukar dasar dengan menyatakan bahawa pengimport-pengimport minyak dari luar Iran (khususnya Amerika) perlu dikenakan cukai yang tinggi dan rakyat Iran sepatutnya lebih layak merasai faedah dan keuntungan lebih besar dari sumber galian serta khazanah bumi mereka sendiri. Hal ini telah menyebabkan Amerika terpaksa segera mengantar CIA mereka, Roosevelt untuk merencanakan sesuatu agar Mohammed dapat digulingkan secepat mungkin. Akhirnya beliau digulingkan dan Regim Shah kembali semula.

Di Turki sendiri, bagaimana Erdoğan sejak 5-6 tahun kebelakangan ini baru mula lantang dalam isu-isu umat Islam? Mengapa tidak dari hari pertama beliau duduk di kerusi Perdana Menteri (2003). Hakikatnya beliau pada mulanya juga menggambarkan dirinya sebagai seorang yang boleh dijadikan boneka oleh Amerika dan Zionis agar ruang untuk beliau membaik pulih ekonomi Turki yang kronik pada ketika itu diberikan. Beliau pro-Amerika, beliau memohon agar Turki menjadi ahli kesatuan Eropah. Yang paling ketara ialah beliau terpaksa menyokong hasrat Amerika menyerang Iraq pada waktu itu. Sehinggakan Amerika dan Zionis yakin beliau tidak akan menentang mereka buat selama-lamanya. Oleh itu, ruang ekonomi dan perdagangan diberikan, sokongan dan pengaruh juga dari Amerika dan Eropah untuk Turki, tiada boikot untuk Turki. Namun itu hanyalah semasa Turki belajar merangkak dalam pembangunan. Siapa sangka Erdoğan juga telah membina perangkap, beliau tahu dasar style Adnan Menderes, Turgut Özal dan Necmettin Erbakan yang pada awal-awal lagi sudah jelas dengan pendirian mereka menentang Amerika akan digagalkan sejak dari awal lagi.

Maka di sinilah beliau mesti ber’munafik’ untuk deal dengan kuasa besar, beliau yakin satu masa nanti Amerika pasti diajar. Nah! lihatlah sekarang, setelah Erdoğan mula naik tocang, Amerika kini menyesali segala ruang yang mereka berikan pada Turki selama ini, apa lagi yang mampu mereka lakukan? Ekonomi Turki kian rancak, ketenteraan kian mantap, hanya pengaruh dan sokongan negara-negara Arab dan Eropah sahaja yang mereka mampu tarik semula. Jelaslah, kita tak perlukan pemimpin yang suaranya riuh satu langit dan bumi (Takbir 3x atau hidup 3x atau hancur 3x) tetapi kita perlu pemimpin yang tahu buat kerja.

Kami juga berbincang bagaimana organisasi-organisasi Arab dapat memperkasakan media mereka setanding stesen-stesen media antarabangsa seperti CNN, BBC, FOX NEWS, majalah-majalah seperti Economist, Newsweek dan banyak lagi yang memang bertujuan menggoreng hakikat yang sedang berlaku di bumi yang ditindas samada Palestin atau negara-negara Afrika dan Amerika Selatan yang lain. Sejak saya berkesempatan mengikuti dan menyertai konferans, forum dan seminar mengenai dunia umat Islam, pasti akan ada slot khas membincangkan peranan media. Realitinya penguasaan umat Islam dalam ilmu IT dan Teknologi mesti diperkukuhkan. Kini media adalah senjata paling ampuh. Media akan berikan signal siapa yang patut ditembak dan siapa yang patut dibela, jika terbalik media itu maka sesatlah arahnya. Jangan melatah cepat sangat nak boikot facebook sebab ia antara medium yang berkesan untuk menyebarkan maklumat.

Segala usaha mana-mana pihak boikot produk Zionis jangan sesekali diperlekeh. Kalau orang di Britain yang kita selalu kata kafer pun mampu buat atas dasar kemanusiaan sehingga syarikat minuman Zionis lingkup dalam masa 2 tahun (ini baru yang dilaporkan, yang tidak dilaporkan pasti lebih banyak lagi), takkan kita yang berketayap, ke masjid hari-hari, berusrah setiap minggu masih tak mampu tahan perut dari meratah Mc Donald’s dan Coca Cola. Kita mesti ingat, Israel juga tidak bodoh, mereka sudah kira untung rugi jika barangan mereka diboikot. Hal ini kerana mereka menyedari boikot ini hanya bermusim. Maka senjata paling kuat yang boleh kita tembak ialah istiqamah dalam usaha boikot.

Akhir sekali, sudah tiba masanya isu Gazzah bukan lagi untuk hanya diratapi, tetapi bertindak, abaikan Khalifah-khalifah yang ditaja, yang hanya menafsirkan khilafah yang Nabi S.A.W ungkapkan di dalam hadith secara membuta tuli. Ayuh! Gazzah perlukan kita sekarang.

‪#‎PRAY‬ ‪#‎AND‬ ‪#‎ACT‬ ‪#‎FOR‬ ‪#‎GAZZAH‬

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *