Berdamai Dengan Takdir

news

Pada 12 Mac 2017, MIZAN Association Kuala Lumpur dengan kerjasam HIKMAH WIlayah Persekutuan telah menganjurkan satu program bertajuk “Berdama Dengan Takdir”.

Saat kita punya 1000 hal yang mesti disyukuri, mengapa mesti memberontak dengan satu atau dua hal yang tidak selari dengan kehendak hati? -Puan Leena Idrus-

Penyampaian dimulakan dengan soalan di atas dan saya merasakan ia adalah satu soalan yang munasabah. Mungkin ia adalah fitrah manusia, kita mudah lupa akan 99 nikmat yang Allah berikan bila hanya 1 perkara dipilih untuk menjadi ujian buat kita (Si A mendapati rumahnya dipecah masuk) atau 1 nikmat Allah tarik dari kita (Si B tidak sihat selama seminggu sehingga terlepas daripada mengikuti percutian tahunan keluarga) atau 1 objektif gagal dicapai mengikut perancangan kita (Si C masih tidak dinaikkan pangkat walaupun telah berkhidmat lama dengan syarikat).

Itu semua hanyalah beberapa contoh tetapi mesej yang ingin ditekankan adalah bagaimana persepsi kita mudah kabur dan merasakan hak kita dinafikan bila hati memberontak dengan takdir yang Allah tentukan pada waktu tersebut.

Sebagai seorang hamba, kita hendaklah menyedari bahawa ujian merupakan sebahagian dari pakej kehidupan ini dan adakalanya, takdir yang ditetapkanNya menguji bukan sahaja menguji kesabaran kita malah keimanan kita. Kita tidak ada pilihan untuk menentukan takdir,  pilihan kita ada ialah menentukan cara kita memberi reaksi pada takdir tersebut.

Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, kita mula stress, marah, sedih. Itu adalah perkara lumrah namun ia boleh membawa kepada bahaya apabila kita terlampau beremosi sehingga sampai ke tahap mempersoalkan takdir atau berkelahi dengan takdir. Kita tidak menerima warna warni kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir, kita pilih untuk memberontak, mempersoalkan, melawannya.

Dalam takdir orang lain,ada takdir kita…

Puan Leena juga memberi pencerahan kepada konsep “di dalam takdir orang lain, ada takdir kita juga.” Yang dimaksudkan di sini adalah dalam satu ketentuan yang ditetapkan Allah untuk seseorang, hendak atau tidak, takdir kita juga terlibat di dalamnya terutamanya jika kita rapat dengan orag tersebut. Sebagai contoh, ditakdirkan salah seorang ahli keluarga kita ditimpa musibah, pada waktu itu kita juga sedang mencorak takdir kita, sama ada kita mahu menghulurkan bantuan atau hanya berdiam diri. Kerapkali dalam takdir orang lain, ada sesuatu yang kita boleh belajar dan ambil sebagai iktibar untuk diri kita sendiri juga.

CARA MENGURUSKAN TAKDIR

Terdapat 3 cara yang boleh dirumuskan tentang cara menguruskan takdir :

1. Belajar untuk sentiasa bersetuju dengan Allah : Allah Maha Mengetahui sedangkan ilmu kita amat terbatas. Kita hendaklah yakin akan hikmah disebalik takdir yang Allah telah tentukan. Dalam pada itu, kita sebagai hamba haruslah menjaga perkataan kita bilaman kita melempiaskan emosi tatkala menerima takdir. Adakala dalam meluahkan kesedihan di atas takdir, kita memilih perkataan yang membawa maksud seolah kita tak yakin akan kebesaran Allah di sebalik ujianNya. Hikmah disebalik ujiannya bukanlah satu perkara yang kita boleh lihat dan saksikan dengan segara pada waktu yang kita mahu. Ia mungkin memakan masa yang singkat, ia mungkinmemakan masa yang lama. Tempohnya tidak dapat kita pastikan namun yang pasti adalah Allah senantiasa ada bersama kita sepanjang kita mengharungi ujian dan takdir tersebut.

2. Berbaik sangka dengan Allah : Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Apa jua ketetapan yang dirancangNya, Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah. Dia akan mengubat,  melapang dan memberi kemenangan disebalik setiap takdirNya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun yakinlah di dalam keperitan ujian, ada kemanisan rahmahNya.

Yang pahit itu akan menjadi ubat, Yang pedih itu akan menjadi penawar. 

3. Berpegang pada 6 rukun iman apabila ditimpa ujian dan berdamai dengan takdir :

  • Percaya pada Allah : Hendaklah kita percaya bahawa ujian itu dari Allah dan takdir itu adalah ketetapan yang Dia rancangkanengikut kebijaksanaanNya
  • Percaya kepada Malaikat – Hendaklah kita percaya bahawa reaksi kita dan tindakan kita dalam menerima ujian dan takdir itu diperhatikan oleh malaikat. Sesungguhnya malaikat di bahu mencatit pahala kita untuk setiap kesabaran dipupuk dalam kita berdamai dengan takdir yang ditetapkan.
  • Percaya kepada Rasul – Hendaklah kita menyedari bahawa bukan kita sahaja yang dipilih Allah untuk menerima takdir yangmenguji kita. Para nabi dan rasul terdahulu juga melalui perkara yang sama, malah ada yang terpaksa menerima takdir yang jauh lebih berat. Maka dengan menelusuri sirah para nabi dan rasul, kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran tentang cara berdamai dengan takdir.
  • Percaya kepada Quran – Hendaklah kita mencari penawar atau ubat “pemujuk hati” bilamana kita gelisah dengan takdir di dalam Al-Quran kerana didalam Al Quran terdapat syifa’ yang akan memjuk, mentarbiyyah dan merawat hati dan perasaan kita. 
  • Percaya kepada hari kiamat – Hendaklah kita percaya bahawa segala apa yang kita “hilang”, seperit mana takdir kita rasakan, di hari akhirat nanti segala kesabaran kita akan diberi ganjaran.
  • Percaya kepada Qada dan qadar – Perkataan takdir berasal dari akar kata qadar. Qadar itu sebenarnya telah Allah ukur mengikut kemampuan kita. Kerana itulah qadar itu dicipta khas dan unik untuk kita dan sesungguhnya Allah tahu kita akan mampu mengharungi ujian itu dan berdamai dengan takdirNya.

Oleh: Nur Izzaidah Abdull Zubi

Nota oleh Puan Leena https://www.slideshare.net/MIZAN_Sisters/berdamai-dengan-takdir

Video penuh :

DSC_0015 DSC_0031 DSC_0051 DSC_0120 DSC_0140

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *