BAHASA ITU CERMIN DIRI

Lain-lain, press release, ummah & humanity

12973141_512726735581536_3823983699806140784_o

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan tata susila yang amat disanjungi.

Berikutan isu yang dibangkitkan oleh para netizen berkenaan dengan teguran ikhlas daripada Prof. Madya Dr. Harlina Haliza Siraj pada 4 April 2016 di dalam sosial Facebook tentang adab dan etika ketika berurusan dengan pelanggan melalui aplikasi Whatsapp, MIZAN terpanggil untuk memberi pencerahan tentang perkara tersebut.

Isu yang dibangkitkan bukanlah berkenaan dengan gelaran yang disandang, tetapi ianya menfokuskan tentang peradaban individu ketika berurusan dengan klien disebalik sebuah gajet.

Tidak kira sama urusan tersebut adalah urusan jual beli ataupun perkara lain, adalah lebih baik jika kita menggunakan bahasa yang teratur dan berhemah ketika melayan klien buat kali pertama.

Sejak di bangku sekolah lagi kita telah diajar dan dididik tentang penggunaan bahasa yang baik. Jadi mengapa untuk berurusan dengan individu lain kita tidak mempraktikkannya? Adakah pembelajaran itu sekadar untuk lulus peperiksaan dan mendapat keputusan yang cemerlang?

Adalah lebih baik setiap apa yang dipelajari itu kita gunakan sebaiknya ilmu yang ada. Tidak perlu menggunakan bahasa sastera yang terlalu tinggi, cukuplah sekadar ianya mencerminkan adab dan nilai seseorang serta imej disebalik gajet itu.

Teguran Dr. Harlina bukan untuk menyalahkan sesiapa tetapi ianya adalah untuk memberi kesedaran dan didikan tentang betapa pentingnya kita menjaga adab ketika berurusan dengan orang yang baru dikenali. Apatah lagi sebagai seorang yang bergelar MELAYU yang menjunjung tinggi adat dan resam.

Kita dinilai berdasarkan kata-kata yang digunakan, diri yang dibawa dan pemikiran yang dilontarkan.

Teguran atau nasihat adalah untuk memberi kebaikan bukan untuk keburukan.

Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.

Konsep nasihat menasihat dlm mencorakkan peribadi identiti masyarakat Islam khasnya dapat menjana pengukuhan iman kepada Allah selain perhiasan ketrampilan akhlak Islam terukir indah pada keperibadian Muslim. Dengan adunan istimewa ini, barulah umat Islam mampu memartabatkan kembali keunggulan dan kecemerlangan dalam segala lapangan hidup sebagaimana pernah dirintis generasi Rasulullah SAW dan generasi sahabat.

Oleh itu, lebih baik untuk tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah dan tidak memberi manfaat kepada orang lain. Ini mencerminkan imej dan keperibadian diri kita sendiri. Masyarakat mampu dan boleh menilai diri kita melalui setiap kata yang ditulis.

“Barangsiapa beriman dengan Allah dan Hari Kiamat, berkata baik atau diam” (Hadith Riwayat Muslim : 47)

Farwina Faroque
Presiden
Muslimah Interest Zone And Networking (MIZAN)
7 April 2016

‪#‎WeStandWithDrHarlina‬

‪#‎SpreadMoreLoveDoMoreGood‬ ‪#‎MIZAN‬ ‪#‎MIZANsisters‬

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.