IMG-20170624-WA0004

Andainya Takdir – Kebaikan, Kebimbangan, dan Korban Seorang Isteri

Article, Campaign
Andainya Takdir – Kebaikan, Kebimbangan, dan Korban Seorang Isteri
KEBAIKAN
Andainya Takdir merupakan sebuah drama bersiri sebanyak 16 episod yang diterajui oleh Shukri Yahaya, Nina Iskandar dan Puteri Balqis. Drama terbitan produksi A.Aida Production Sdn Bhd dan diarahkan oleh Along Kamaludin perlu diberikan kredit kerana isu utama yang diketengahkan adalah mengenai kemelut seorang isteri yang perlu menghadapi suami yang mempunyai kecelaruan fikiran dari sudut emosi yang mempengaruhi tindakan luar kawalan. Fokus cerita ini yang mencetus kesedaran tentang masalah mental dan kesan yang diberi kepada orang sekeliling harus dipuji.
Fokus cerita ini yang mencetus kesedaran tentang masalah mental dan kesan yang diberi kepada orang sekeliling harus dipuji.
Sepanjang 16 episod yang ditayangkan, ia memaparkan tentang kehidupan Airil seorang yang panas baran dan kuat cemburu. Silap sedikit sahaja tindakan yang dilakukan oleh Tihah akan mengundang kemarahan dan tanpa rasa bersalah dan simpati Tihah akan dipukul sehingga separuh nyawa. Tihah ingin menjadi isteri yang setia dan hormat kepada Airil. Namun adakala kesabaran Tihah memberi kesan negatif kepada dirinya sendiri. Niat Tihah adalah untuk membantu suaminya agar dapat kembali sihat dan menjalani kehidupan normal.
Masalah Airil yang panas baran dan cemburu itu turut dihasut oleh ibunya sendiri. Perangai ibunya yang sering berfikiran negatif dan suka ambil tahu perihal orang kampung membuatkan pengaruh ibunya juga memberi kesan kepada Airil. Drama ini memaparkan tentang bagaimana si isteri bersabar walau berulangkali dibelasah teruk oleh suami sehingga menyebabkan keguguran anak kedua. Manakala sang suami pula tidak dapat mengawal kemarahan dan bertindak di luar kawalan tetapi akan menyesal setelah keadaan pulih.
IMG-20170624-WA0003Adegan-adegan yang membuat kita bersimpati terhadap nasib Tihah ini, walaupun perit untuk ditonton, ia merupakan “reality check” ataupun “wakeup call” untuk kita semua tentang apa yang sedang berlaku di luar sana, di dunia realiti. Ya, realitinya, keganasan rumah tangga masih berlaku secara tersembunyi mahupun terang-terangan walaupun kesedaran tentang penderaan domestik telah lama digiatkan dan ceramah mahupun bengkel tentang kepentingan hak seorang wanita untuk mempertahankan dirinya dari disakiti atau dicederakan dijalankan secara berleluasa pada zaman kini.
KEBIMBANGAN
Tanpa ramai orang sedari, media massa dan hiburan sebenarnya mempengaruhi sedikit sebanyak cara pemikiran orang yang menontonnya. Yang menjadi kebimbangan adalah bagaimana beberapa “mesej” disampaikan melalui adegan di dalam drama Andainya Takdir dan juga melalui pembawakkan watak Tihah sebagai “heroin” cerita dan mangsa yang didera. Ada yang marah kerana Tihah hanya membiarkan dirinya dipukul tanpa cuba mempertahankan dirinya, ada yang pelik mengapa Tihah sanggup bersama lagi dengan suaminya disebalik apa yang terjadi, ada yang bersimpati terhadap nasib Tihah, dan ada yang menonton drama ini dengan perasaan “Ya, aku faham perasaan Tihah, aku juga berada di dalam situasi ini.”
Ini yang menjadi kebimbangan. Di antara audiens yang menonton drama-drama yang disajikan di TV, ada di antara mereka yang mendapati situasi di kaca TV begitu dekat dengan mereka. Di barat, ia dipanggil “when life imitates art”. Untuk audiens sebegini, bilamana mereka melihat sikap pasif Tihah, sikap “sanggup berkorban atas nama isteri”, sikap “tak apa aku dipukul, aku akan cuba mengubah suamiku”, mereka juga akan terpengaruh dan merasakan itulah yang mereka harus lakukan, Tihah atau mana-mana watak wanita yang hanya “berdiam diri bila dizalimi” menjadi role model mereka. Jika Tihah sendiri tidak dapat melepaskan diri dari kezaliman yang diterimanya, mana mungkin mereka juga boleh bebas dari kezaliman yang mereka terima.
Sabar dan setia oleh isteri (Tihah) merupakan satu tindakan yang tidak sihat walaupun amat menyayangi suami. Isteri perlu bertindak bijak dan rasional dengan merujuk kepada yang lebih arif.
Drama berkisar realiti kehidupan masa kini memberi impak kepada wanita yang bergelar isteri untuk mengetahui hak dan juga tindakan yang perlu dilakukan sekiranya terjadi kepada diri sendiri atau individu yang terdekat.
KORBAN SEORANG ISTERI
IMG-20170624-WA0004Hak suami ke atas isterinya tidak bermakna ia hak untuk mencedera atau menyakiti isterinya.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap isterinya, dan aku yang terbaik terhadap isteriku.” (HR. At Tirmidzi)
Bahkan di dalam Islam, seorang suami hanya dibenarkan untuk “menepuk secara ringan” isterinya, tepukan ringan yang tidak memberikan atau meninggalkan kesan pada si isteri. Itu pun jika isteri yang ditegur berkali-kali atas kesalahannya (yang bertentangan syarak) tidak mengambil iktibar dari teguran si suami. Rasulullah S.A.W menyebut tentang tindakan menepuk ringan ini sebagai, “dharban ghayra mubarrih” yang jika diterjemahkan membawa maksud tepukan ringan yang tidak meninggalkan kesan. Baginda S.A.W juga menegaskan tindakan ini seboleh-bolehnya dielakkan dan sebahagian ulama juga berpendapat bahawa ringannya tepukan itu ibarat sentuhan sebatang miswak ataupun sebatang berus gigi [1]
Si isteri mungkin beraspirasi untuk menjadi isteri setia, taat, dan solehah. Namun semua ini harus sejajar dengan apa yang dibenarkan di dalam Islam. Islam datang 1400 tahun dahulu untuk membebaskan wanita dari penindasan dan kezaliman, Islam datang memberi hak kepada wanita untuk mempertahankan nyawanya sendiri, namun apabila watak seperti Tihah gagal membezakan antara menjadi isteri taat pada suami yang baik dan suami yang zalim, bila yang diketengahkan di kaca TV mahupun mana-mana drama lain adalah “wanita yang baik adalah wanita yang hanya akur pada nasibnya dan keadaanya yang dizalimi”, wanita yang baik adalah wanita yang subservient (tunduk) dan bukan obedient (taat), ini ibarat kita kaum wanita telah membelakangkan diri kita pada segala apa yang Islam bawa untuk wanita di dalam Islam – hak dan pemberdayaan wanita.
Islam mengajar wanitanya menjadi wanita yang berdaya (empowered) dalam ketaatannya, seimbang dalam kesetiaanya, bijak dalam menentukan apa yang baik dan apa yang memudaratkan dirinya.
MIZAN mengambil inisiatif dan iktibar dari drama ini untuk memberi kesedaran tentang peranan wanita untuk mengetahui hak dan peranan sebagai isteri.
Rujukan
Disediakan oleh
Nurul Erna Dewi Mohd Said, Setiausaha dan
Nur Izzaidah Abdull Zubi, ExCo
24 Jun 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *