Keluarga Muslim – Peranan Setiap Anggota Masyarakat

Article, ummah & humanity

Dekonstruksi Definisi Keluarga

Sesi perkongsian bersama Dr Zainab Alwani, seorang ulama wanita dari Amerika Syarikat adalah berkisarkan Maqasid asy-syar’iah bagi Institusi Kekeluargaan; Penekanan Terhadap Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak. Beliau memulakan dengan menceritakan latar belakang dinamik institusi kekeluargaan di Amerika Syarikat yang mula berubah sejak tamatnya Perang Dunia ke-2. Pada waktu itu, wanita diasak untuk keluar dari rumah bagi mencari pekerjaan, memandangkan ramai suami yang baru pulang dari medan perang tidak mampu bekerja dan menampung keluarga. Maka kerajaan memainkan peranan bagi menyokong isteri-isteri yang keluar bekerja dengan memudahkan urusan rumahtangga yang kebiasaannya diuruskan oleh isteri seperti memasak, mencuci pakaian dan sebagainya.

Servis makanan boleh didapati di kedai makan, manakala servis mencuci pakaian boleh didapati di kedai dobi. Perkara ini kemudiannya merombak lagi peranan institusi kekeluargaan, bilamana waktu seisi keluarga berkumpul untuk makan bersama, mencuci, menyediakan makanan bersama tidak lagi berlaku kerana aktiviti ini diambil alih oleh servis-servis yang bertujuan untuk memudahkan isteri-isteri yang bekerja ini.

Lama kelamaan, di awal tahun 90an definisi perkahwinan juga berubah apabila ianya tidak lagi bermaksud lelaki dan wanita yang mengikat perjanjian untuk mendirikan rumahtangga. Mana-mana pasangan yang tinggal serumah walaupun tanpa ikatan perkahwinan boleh dikira sebagai sebuah unit keluarga. Lelaki dan wanita yang menjalin hubungan serius lebih dari 7 tahun tetapi tiada sebarang niat untuk bernikah dan mengikat kontrak kekeluargaan juga boleh mendapatkan manfaat sebagai keluarga (seperti pengecualian cukai bagi hal yang melibatkan keluarga dan sebagainya). Dan pada masa kini, hal ini semakin berubah seiring dengan peredaran zaman – perkahwinan tidak lagi didefinisikan di antara lelaki dan wanita sahaja.

Dari sudut undang-undang pula, ketiadaan undang-undang syariah Islam di Amerika menyebabkan Muslim di sana tertakluk di bawah undang-undang negeri untuk mendapatkan hak sebagai ahli keluarga. Masalah timbul apabila wujudnya pihak yang tidak arif tentang hukum Islam berkenaan hak serta tanggungjawab anggota keluarga. Ini termasuklah pemberian nafkah, hak mendapat perlindungan, hak untuk berasa selamat dan aman dan lain-lain. Seorang isteri mungkin dirampas haknya untuk merasa selamat dengan suami sendiri apabila si suami memukul isteri dan anak-anak.

Apabila isteri cuba meminta bantuan dari komuniti Muslim sendiri, si isteri dipujuk untuk bertahan dengan layanan buruk tersebut dan “bersabar kerana Allah akan meningkat darjat mereka yang bresabar”. Isteri kini tiada tempat untuk mengadu perihal rumahtangga kerana dimomokkan tentang aib suami yang tidak boleh disebarkan kepada orang luar.

“bersabar kerana Allah akan meningkat darjat mereka yang bersabar”

Di mata masyarakat, antara yang termasuk di bawah aib suami termasuklah apabila suami memukul isteri, suami mendera isteri secara psikologi, suami tidak memberikan nafkah – sedangkan mengikut Islam ini bukanlah aib sebaliknya dharar (nusyuz dari pihak suami). Malangnya terdapat juga imam-imam yang dibesarkan dengan budaya “kepincangan suami dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ketua rumahtangga tidak perlu dibincangkan oleh pihak luar”. Ini menyebabkan isteri-isteri ditindas, terseksa dan tidak terbela hak mereka.

Mengangkat atau melaporkan isu keganasan rumahtangga dianggap tabu dan tidak boleh dibicarakan secara terbuka kerana ia dianggap membuka aib rumahtangga. Malahan bagi wanita yang melaporkan atau mengadu tentang keganasan rumahtangga, mereka pula akan dipersalahkan.

Ini menyebabkan wanita yang menghadapi masalah keganasan rumahtangga memilih untuk berdiam diri kerana tiada sokongan dan tindakan yang boleh diambil oleh pihak autoriti melainkan menyuruh mereka ini bersabar dan menerima dengan redha ujian tersebut.

Walaubagaimanapun, terdapat agamawan di Amerika yang prihatin tentang permasalahan ini dan mereka cuba mencari penyelesaian dengan menggalakkan anggota masyarakat Muslim yang berkeluarga untuk mendaftarkan perkahwinan di bawah undang-undang keluarga Amerika. Setelah mendaftar dan direkodkan data di dalam sistem, pasangan berkahwin itu kemudiannya perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak imam/masjid berdekatan kawasan mereka agar dapat menjadi pihak rujuk bagi hal-hal berkaitan keluarga Islam. Inisiatif ini merupakan sebahagian usaha pemeliharaan hak wanita dan kanak-kanak dalam institusi keluarga bagi mereka yang tinggal di negara-negara barat.

Institusi Keluarga Di Malaysia

Di samping Dr Zainab, YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd. Na’im Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie berkongsi tentang situasi yang berlainan di Malaysia di mana enakmen keluarga Islam di bawah undang-undang syariah di Malaysia memelihara hak dan membela nasib isteri dan anak-anak agar tidak ditindas ahli keluarga yang tidak bertanggungjawab.

Contohnya jika suami memukul isteri, walau hanya sekali sahaja ataupun jika suami mendera isteri secara psikologi, ia cukup untuk si isteri membuat laporan polis. Kemudiannya pihak polis akan meminta isteri mendapatkan pengesahan dari pihak hospital kerajaan. Bukti-bukti ini akan diguna pakai di dalam mahkamah bagi mendapatkan hak seperti yang isteri inginkan, samada membuat tuntutan agar suami dipenjarakan (Committal Proceeding) atau memohon fasakh (perceraian).

Malangnya masih ramai wanita Muslim di Malaysia yang tidak mengetahui hak-hak mereka mengikut undang-undang di mahkamah syariah di Malaysia. Ramai yang didedahkan dan dimomokkan dengan hal-hal yang tidak seiring undang-undang syariah di Malaysia yang menyebabkan mereka ditindas. Hasilnya, mereka tidak menuntut hak sebagai isteri.

Rakyat di Malaysia yang beragama Islam mengambil secara literal hukum-hukum yang ada di dalam al-Quran dan berhujah bahawa undang-undang syariah Malaysia dan enakmen adalah bidaah, sesuatu yang diada-adakan, kerana pada mereka, di zaman Rasulullah s.a.w, tidak wujud akta atau enakmen dalam urusan pembinaan institusi kekeluargaan. Penyampaian tafsiran hadith dan ayat al-Quran secara literal tanpa merujuk kepada pakar dari mahkamah syariah juga menyumbang kepada kecelaruan pemikiran masyarakat Muslim di Malaysia.

Dr Zainab Alwani mencadangkan bahawa budaya yang dibawa oleh imigran di Amerika membiasakan suami memukul isteri dengan menggunakan dalil dari al-Quran tentang taghdib , sedangkan mereka sepatutnya mengikuti langkah-langkah taghdib (mengajar) isteri yang lain seperti menasihati, memisahkan tempat tidur dan sebagainya sebelum bertindak memukul isteri dengan perlahan. Ayat Quran tersebut bukan diambil sebagai panduan pencegahan tetapi sebagai lesen untuk menjustifikasikan tindakan mereka terhadap isteri.

Di Malaysia pula, ceramah-ceramah oleh agamawan popular dibanjiri dengan topik-topik utama seperti menjadi isteri yang taat, kepentingan wanita menjaga aurat dan pelbagai topik berkisar tanggungjawab wanita. Topik-topik ini tidak dinafikan penting di dalam mendidik wanita kerana merekalah individu yang menjadi tonggak keluarga yang seterusnya akan melahirkan individu pemimpin di kalangan masyarakat. Namun kebanyakan agamawan popular di Malaysia masa kini kurang menekankan peranan lelaki sebagai Muslim dan suami khasnya. Tanggungjawab, amaran dan penyalahan difokuskan sepenuhnya kepada wanita. Amat kurang kupasan tanggungjawab suami di dalam mengerakkan institusi rumahtangga.

Pemberdayaan ilmu dan kesedaran di kalangan lelaki agar membela nasib wanita seperti yang dinyatakan di dalam Surah An-Nisa ayat 34 dilihat masih berada di tahap yang membimbangkan. Sebaliknya, ayat ini sentiasa disalah tafsir dan dijadikan sebagai lesen oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menakutkan dan menundukkan wanita, untuk mengugut si isteri agar patuh taat tanpa kompromi walau layanan yang diterima membinasakan dirinya sendiri.

Kepentingan Ilmu Dalam Mengetahui Hak

Amatlah penting untuk semua orang melengkapkan diri dengan pengetahuan asas tentang sistem undang-undang syariah di Malaysia kerana Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di di Malaysia dirangka untuk memelihara dan membela hak wanita.

Kebanyakan individu masyarakat yang beragama Islam di Malaysia gemar merujuk teman-teman yang tidak mempunyai pengetahuan jelas tentang sistem perundangan syariah di Malaysia. Lebih malang lagi apabila wali, ibu bapa dan sistem sokongan terdekat yang sepatutnya membantu wanita ini menjadi penyebab wanita ini tidak menggunakan haknya sebagai individu Muslim di Malaysia.

Terdapat banyak kes di mana isteri mengadu kepada ahli keluarga seperti ibu bapa, atau mertua tentang penganiayaan yang dilakukan suami, namun disuruh diam dan bersabar – dan dijanjikan ganjaran syurga. Sedangkan penganiayaan terhadap isteri bukan sesuatu yang dianjurkan Islam mahupun mahkamah syariah di Malaysia.

Perkahwinan Perlu Didaftarkan – Ini Bid’ah?

Terdapat individu-individu yang tidak bertanggungjawab, yang hanya memikirkan kesenangan dan kemahuan diri sendiri yang cuba menggunakan Islam sebagai lesen untuk menganiaya wanita. Satu contoh adalah “kahwin lari di sempadan”. Pihak tidak bertanggungjawab hanya berfikir tentang kemahuan mereka dan tidak memikirkan bagaimana tindakan mereka itu mampu menindas status dan hak seorang wanita. Mereka menggunakan dalil Islam itu mudah, lalu memancing wanita untuk bernikah di sempadan Thailand ataupun di luar negara. Alasan yang digunakan untuk bernikah di Thailand adalah mengikut rukun nikah, pernikahan itu sah. Apabila pulang ke Malaysia, perkahwinan berkenaan tidak didaftarkan dengan alasan nabi tidak mendaftarkan perkahwinan baginda.

Agamawan di Malaysia juga ramai yang menyokong kata-kata ini tanpa menyedari kesannya terhadap wanita dan anak-anak mereka. Apabila perkahwinan tidak didaftarkan di Malaysia, undang-undang tidak dapat membantu isteri mendapatkan haknya, samada sebagai isteri atau sebagai bekas isteri. Anak-anak juga tidak dapat didaftarkan untuk mendapatkan hak sebagai anak-anak.

Kita tidak mampu menjangka masa depan kita. Bagi seorang wanita, jika di masa hadapan statusnya sebagai isteri dipertikaikan dan haknya dinafikan, dia tidak akan dapat memperoleh bantuan dan belaan dari mahkamah di Malaysia kerana pernikahannya tidak didaftar. Enakmen Keluarga Islam diwujudkan untuk membela haknya namun disebabkan tindakan mereka yang “lari dari undang-undang” dan bernikah di sempadan seterusnya tidak mendaftarkan pernikahan mereka, si isteri kini tersepit dan tidak terbela nasibnya.

Kebanyakan suami tidak bertanggungjawab begini akan mengabaikan tanggungjawab nafkah terhadap isteri dan anak-anak, lalu apabila ini berlaku isteri tiada tempat untuk memohon bantuan bagi memaksa suami menjalankan tanggungjawabnya – inilah di antara kesan perkahwinan tidak didaftarkan di Malaysia.

Saranan

Kami menyarankan agar kesedaran tentang hak dan peranan suami isteri mengikut garis panduan undang-undang syariah di Malaysia diperluaskan agar setiap individu masyarakat celik isu-isu ini.

Medium terkini seperti media sosial amat berperanan penting bagi menyampaikan kesedaran kepada orang awam. Drama-drama tempatan juga amat berkesan bagi mendidik individu Muslim di Malaysia tentang hak-hak mereka mengikut undang-undang syariah. Tidak seharusnya dinafikan ramai anggota masyarakat menerima setiap adegan perundangan di dalam kaca televisyen dan beranggapan ianya adalah 100 peratus benar.

Perkahwinan adalah sakinah, mawaddah dan rahmah – sepatutnya diterjemahkan secara praktikal dan dapat dinikmati bagi setiap pasangan suami isteri dan anak-anak. Individu masyarakat Muslim yang cakna akan 3 kunci utama ini akan melahirkan keluarga yang penyayang dan tenang. Biarpun diuji dengan perceraian, mereka akan utuh menjalankan tanggungjawab masing-masing berpaksikan tuhan yang satu.

Allahu ‘alam.

Farwina Faroque, Presiden
Nur Izzaidah Abdull Zubi, ExCo
Nurul Haqiqah Dol Hamid, ExCo
MIZAN (16 Disember 2018)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.